Sarawak juga mahu naik gaji penjawat awam

Sarawak juga mahu naik gaji penjawat awam

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata perkara itu akan diumum 'sebulan setengah' lagi.

Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri mampu menanggung kenaikan gaji yang akan diumumkan.
SIMUNJAN:
Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian menambah baik termasuk meningkatkan gaji penjawat awamnya, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata, kajian itu yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan setengah akan meneliti pelbagai faktor.

“(Usaha menambah baik) ini akan melibatkan implikasi kewangan (kepada Sarawak), tetapi saya lihat kita boleh menanggung kenaikan (gaji) yang akan kita umum dalam masa sebulan setengah lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Simunjan.

Beliau berkata demikian semasa mengulas pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula Disember antara tertinggi dan terbaik.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji, dan elaun tetap penjawat awam ialah RM1,795 sebulan.

Perincian mengenai kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2025 yang dijangka pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.