
Edmund Santhara Kumar berkata jumlah cukai yang dikutip pada 2022 ialah RM8 bilion, lapor Malaysiakini.
“Kalau 10% atau RM800 juta diagihkan kepada minoriti dari itu dan peruntukan RM300 juta kepada masyarakat India menjelang 2030, isu-isu penting masyarakat ini boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita ketika berkempen bagi calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.
Hasil yang dikutip daripada perjudian, alkohol dan produk tembakau, antara lain, dikenali sebagai “cukai mudarat”.
Cadangan untuk cukai itu digunakan untuk kepentingan orang bukan Islam telah dibangkitkan sebelum ini.
Pada 2014, Loke Siew Fook dari DAP mencadangkan hasil daripada cukai itu dimasukkan ke dalam akaun khas yang boleh disalurkan ke arah kebajikan orang bukan Islam, termasuk menyediakan dana kepada sekolah vernakular dan badan kebudayaan dan sosial.
Santhara juga berkata beliau hairan dengan nasihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar masyarakat India tidak “marah atau cemburu” terhadap program yang bertujuan untuk memartabatkan Bumiputera.
Beliau berkata masyarakat India tidak marah mahupun cemburu, tetapi tidak berpuas hati dengan Putrajaya kerana didakwa gagal menunaikan janji.
Bekas Ahli Parlimen Segamat itu berkata masyarakat India memahami dan menerima keistimewaan masyarakat Bumiputera.
“Tapi, yang pentingnya apa yang perlu diberikan kepada masyarakat minoriti yang harus diberikan apa yang dijanjikan dalam manifesto. Maka, saya tidak faham dari konteks mana beliau katakan jangan cemburu dan marah.”