
Terdahulu media melaporkan Faisal disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
“Selangor FC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci untuk mengenal pasti sesiapa yang terlibat,” kata kelab itu di media sosial.
“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisal dan keluarganya serta menghormati privasi beliau dan keluarganya pada masa ini.”
Serangan ini turut menjadi perbualan warganet, apabila gambar Faisal yang dikatakan selepas kejadian dikongsi di media sosial.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengecam serangan itu.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya keganasan terhadap atlet. No violence in sports!” katanya di platform X.
Sementara itu, polis memaklumkan Faisal dirawat di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan berada dalam keadaan stabil.