
Menurutnya, Malaysia dan China membentuk semula lanskap geopolitik Asia dengan menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, menjadikan Malaysia negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang merasmikan hubungan dengan Beijing.
“Walaupun ada sebab jelas untuk mengelaknya – jurang ideologi kita, perbezaan kita nampaknya tidak selari – pemimpin kita berani berfikir di luar kebiasaan dan bertindak berani.
“Langkah berani ini berkembang menjadi perkongsian hebat dan membuahkan hasil.
“Kerajaan Madani komited memupuk hubungan penting ini demi kemakmuran rakyat dan seluruh rantau ini,” katanya dalam catatan Facebook.
Anwar berkata beliau menantikan lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ketika dua negara meraikan “pencapaian bersejarah” hubungan diplomatik selama 50 tahun.
China ialah rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.
Perdagangan Malaysia dengan China berjumlah RM450.84 bilion pada 2023, yang merangkumi import sebanyak RM258.63 bilion.
Semasa lawatannya ke China pada April 2023, Anwar berkata firma China menjanjikan pelaburan kira-kira RM170 bilion di Malaysia dan menandatangani 19 memorandum persefahaman (MoU).
Ia disusuli komitmen sebanyak RM19.84 bilion pada September 2023.