Siasat segera dakwaan kontena Israel di Iskandar Puteri, arah Zahid

Siasat segera dakwaan kontena Israel di Iskandar Puteri, arah Zahid

Terdapat dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan Iskandar Puteri.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata, dasar kerajaan ialah tiada hubungan diplomatik dan perjanjian perdagangan dengan Israel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera ke atas dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan Iskandar Puteri, Johor.

Beliau berkata, dasar kerajaan ialah tiada hubungan diplomatik dan perjanjian perdagangan dengan kerajaan Zionis itu.

“Saya fikir pihak lembaga pelabuhan dan kastam harus bertindak segera kerana kita tahu apa yang berlaku ini bukan hanya soal perdagangan, tetapi soal bagaimana peraturan begitu ketat terbolos dengan adanya barangan itu (kontena) memasuki salah sebuah pelabuhan kita.

“Siasatan mesti disegerakan,” katanya menurut Bernama selepas melancarkan pengoperasian IPD Bagan Datuk di Hutan Melintang.

Semalam, Adun Kota Iskandar, Pandak Ahmad dilaporkan terkejut menerima aduan penduduk yang mendakwa pelabuhan itu masih menerima kontena dibawa dari Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.