Budak perempuan ditemui lemas jatuh jeti

Budak perempuan ditemui lemas jatuh jeti

Polis berkata kanak-kanak berusia 10 tahun itu dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di jeti.

Anggota Bomba menemui mayat kanak-kanak kira-kira lima meter dari lokasi mangsa terjatuh ketika berada di atas jeti di Sungai kampung Dapur Arang, Gelang Patah, Johor Bahru. (Gambar JBPM)
JOHOR BAHRU:
Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas selepas terjatuh di Jeti Sungai kampung Dapur Arang Gelang Patah petang semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.40 petang daripada seorang lelaki berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 10 tahun bersama adik perempuannya, 6, serta rakan mereka bermain di jeti berkenaan.

“Ketika sedang duduk di jeti, mangsa tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

“Pihak bomba dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menemukan mayat mangsa pada jarak lima meter dari jeti di kedalaman tiga meter dari paras sungai,” katanya dalam kenyataan.

Kumarasan berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Iskandar Puteri, Saifulizam Salleh berkata sepasukan sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung kejadian pada 5 petang.

“Setelah empat jam operasi digerakkan, mangsa dijumpai pada 9.07 malam tadi.

“Mayat mangsa ditemukan di dasar sungai dengan kedalaman tiga meter. Kedudukan mangsa dijumpai lima meter dari tempat kali terakhir dia dilihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.