Ahli Parlimen PN gesa PAC siasat perjanjian MAHB

Ahli Parlimen PN gesa PAC siasat perjanjian MAHB

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata mereka yang terbabit perlu memberi penjelasan dan alasan penjualan 30% saham kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

pesal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata individu bertanggungjawab menjual saham MAHB itu perlu beri penjelasan kepada PAC.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat dikaitkan dengan firma pelaburan BlackRock.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata mereka yang terbabit perlu memberi penjelasan dan alasan untuk melaksanakan transaksi terbabit.

“Tolong siasat dalang penjualan saham MAHB ini dalam Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), saya gesa PAC panggil mereka terangkan kenapa jual saham MAHB kepada BlackRock dan Global Infrastructure Partners (GIP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 25 Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam penjelasannya berkata penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada GIP telah melalui syarat ketat.

Antara merit pemilihannya persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai pengerusi dan ketua pegawai eksekutif MAHB dan pemilikan kolektif saham majoriti milik negara.

Di bawah pelaksanaan itu, GIP ditetapkan untuk memiliki 30% saham MAHB dengan Abu Dhabi Investment Authority.

Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, dan KWSP daripada 7.9% kepada 30%.

BlackRock dikaitkan dengan isu itu susulan pengumuman Januari lalu berhubung pengambilalihan GIP dengan jangkaan transaksi itu dijangka dimuktamadkan suku ketiga tahun ini.

Semakan data menunjukkan BlackRock sudah mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.

Data boleh diperoleh secara terbuka itu juga menunjukkan sehingga Mei 2024, firma pelaburan global itu sudah sedia ada memiliki pelaburan dalam ekuiti, dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia yang merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga institusi perbankan di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.