
Menyanggah pandangan seorang ahli akademik bahawa BN sebagai ‘entiti hampir lumpuh’, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi berkata Umno perlu bergerak dalam sebuah gabungan besar sebagai bukti ia parti berbilang kaum.
“Logo BN masih relevan digunakan pada PRU16. Jika guna logo Umno menjadikan Umno dilihat parti solo.
“Umno perlu gabungan parti politik sebagai bukti Umno propolitik berbilang kaum. BN jenama masih berbisa. Cuma perlu penambahbaikan,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan pandangan seorang ahli akademik, Azmi Hassan bahawa parti Melayu itu wajar menggunakan lambangnya sendiri pada PRU16 memandangkan simbol Umno dalam politik ‘masih kuat dan lebih berkesan’ berbanding BN.
Gesaan itu menyusul kenyataan Pengerusi BN Zahid Hamidi yang gabungan itu akan menggunakan logonya sendiri pada PRU16 walaupun mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Umno adalah pemegang terbesar daripada 30 kerusi Parlimen dimenangi BN pada PRU15 iaitu 26, diikuti dua oleh MCA serta masing-masing satu dimiliki MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Mengulas lanjut, Puad berpandangan antara penambahbaikan perlu dilaksanakan segera oleh BN adalah membenarkan sistem keahlian terus seperti membenarkan parti lain khususnya parti-parti ‘Friends of BN’ menjadi ahli penuh gabungan.
“Ada yang suka BN tetapi tidak suka MCA dan MIC. MCA dan MIC juga harus terbuka.
“Benarkan parti lain khususnya ‘Friends of BN’ menjadi ahli penuh BN. Kemasukan parti lain tidak sepatutnya disekat. MCA dan MIC tidak wajar takut,” katanya.
Ketika ini, BN mempunyai 11 parti ‘Friends of BN’ antaranya MyPPP, Makkal Sakti, Parti Punjabi Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata rakyat ketika ini lebih melihat khidmat bakti pemimpin Umno dalam kerajaan perpaduan berbanding lambang semata-mata.
“Rakyat nak tengok bagaimana kita (buat kerja) dan rakyat masih menilai…kalau parti ini tidak ada nilai, sudah tentu mereka tak kisah apa yang berlaku pada BN tetapi hari ini apa yang berlaku dalam BN khususnya Umno menjadi perbualan dan topik oleh semua.
“Jadi bagi saya ini bukan soal logo kerana BN masih lagi di hati pengundi cuma rakyat nak tengok sejauh mana kita boleh berubah,” katanya.
Mengulas kerjasama parti komponen BN setakat ini, Akmal berkata hubungan setiap parti komponen khususnya Umno, MCA dan MIC kekal utuh malah semakin kuat di peringkat akar umbi.
“Kita dalam keadaan sangat baik, kita bekerja ibarat sahabat karib,” katanya.