Kastam Sarawak rampas dadah hampir RM2 juta

Kastam Sarawak rampas dadah hampir RM2 juta

Dua lelaki berumur 19 dan 22 tahun turut ditahan dalam serbuan pada 4 Julai lalu.

norizan
Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah bernilai RM 1.9 juta yang disembunyikan di dalam kotak barangan elektrik, dalam serbuan di Kuching. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 60.67kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM 1.9 juta yang disembunyikan di dalam kotak barangan elektrik, dalam serbuan di beberapa kawasan, di sini, minggu lepas.

Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata dua lelaki berumur 19 dan 22 tahun turut ditahan oleh pasukan kastam dari Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Narkotik dalam serbuan pada 4 Julai.

Beliau berkata mereka ditahan di perkarangan sebuah syarikat kargo dalam operasi bersama dengan polis yang telah bermula bermula sejak 1 Julai.

“Suspek ditahan bersama 10 kotak yang berada dalam kawalannya yang disimpan di dalam sebuah lori. Pemeriksaan awal membawa kepada penemuan 60 paket bercetak ‘Guan Yi Wang’ berwarna keemasan dengan kandungannya disyaki ketulan kristal (dadah),” katanya pada sidang media di Wisma Kastam hari ini.

Norizan berkata kes itu mungkin mempunyai kaitan dengan dua kes tangkapan terdahulu, masing-masing di Kuching pada Mac dan di Miri pada Jun lepas kerana menggunakan modus operandi yang sama iaitu perkhidmatan kargo udara dari Kuala Lumpur ke Kuching, dengan membuat pengikraran tidak benar di borang Kastam.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Dengan berat yang agak signifikan, maka kita tidak menolak kemungkinan ramai individu yang terlibat. Pegawai penyiasat sedang mendalami beberapa aspek dan kita optimis kes ini dapat dirungkai dalam sedikit masa lagi,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.