Anjur protes jalanan jika teruskan jual saham MAHB, kata Wan Fayhsal

Anjur protes jalanan jika teruskan jual saham MAHB, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata aktivis M Mythreyar yang sedang mengadakan mogok lapar di Dataran Merdeka akan turut serta jika protes jalanan diadakan PN.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kerajaan perlu menangguhkan penjualan saham MAHB dan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.
KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan protes jalanan jika kerajaan meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), kata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata Ahli Parlimen PN turut menyokong aktivis M Mythreyar yang sedang mengadakan mogok lapar di Dataran Merdeka kerana membantah penjualan saham itu dan akan turut serta jika protes jalanan diadakan.

“Kita akan bawa ribuan rakyat Malaysia menyatakan bantahan kepada kerajaan yang buat pekak badak untuk terus jual saham,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Beliau berkata kerajaan perlu menangguhkan penjualan saham itu dan membawa perkara berkenaan ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Putrajaya membatalkan penjualan saham MAHB kerana kaitan GIP dengan BlackRock, yang mempunyai pegangan dalam syarikat senjata Amerika Syarikat menghasilkan senjata digunakan Israel.

Bulan lalu, GIP menegaskan BlackRock tidak terlibat transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium Gateway Development Alliance (GDA).

Penjelasan itu menyusul laporan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menerajui GDA, yang menawarkan pengambilalihan MAHB. Dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu berganding dengan GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia).

Sebaik tawaran sukarela prasyarat selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, manakala KWSP daripada 7.9% kepada 30%. Pelabur Malaysia itu secara kolektif akan memiliki 70% MAHB, manakala Adia dan GIP memiliki baki 30%.

Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB, manakala pengerusi serta CEO dilantik dalam kalangan warga Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.