
Ketua Pengarah Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM, Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata ATM juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk sektor swasta untuk mendapatkan sistem (AI) terbaik.
“Kita mengorak langkah untuk menggunakan AI terutamanya bila dalam sistem kita ni dah bergerak kepada analog ke digital, jadi AI ni lebih membantu untuk cepatkan proses.
“Sudah tentu kita pakai AI, (sebab) musuh pakai AI,” katanya dalam sesi wawancara khas selepas majlis perasmian Siber Siaga 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Fadzli berkata jalinan kerjasama dengan sektor swasta berkait teknologi itu adalah penting kerana tumpuan yang berbeza antara kedua pihak itu akan memberikan manfaat kepada kerajaan.
“Mereka ini (sektor swasta) dalam dunia perniagaan dan berlumba dalam teknologi, perlukan sistem yang terbaik, jadi kita mengambil kira kemampuan mereka itu untuk membantu kita,” katanya.
Pada 5 Ogos lalu, media melaporkan kumpulan pengganas antarabangsa dikesan menggunakan AI bagi memperluaskan penyebaran ideologi dan propaganda serta menarik penyertaan anggota baharu, khususnya golongan muda.
Strategi itu dikesan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), yang sebelum ini turut mengenal pasti media sosial dan permainan video dalam talian digunakan sebagai saluran terkini pengganas menyedia dan menyebar bahan berunsur radikal serta ekstrem.
Berdasarkan kajian dan analisis agensi di bawah Kementerian Luar itu, kumpulan pengganas menggunakan AI untuk memprogramkan propaganda dalam pelbagai bahasa yang disesuaikan dengan keadaan sosiolinguistik sasaran mereka.
Sementara itu, Fadzli berkata pelesenan perkhidmatan media sosial yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini membolehkan pihak berkuasa memantau kemampuan setiap pengendali dalam melaksanakan aktiviti mereka.
Jelasnya kerangka undang-undang baru tersebut penting untuk membendung isu-isu yang berkaitan dengan dunia digital.