
“Itu pandangan saya, mereka bebas katakan apa pendapat mereka, (kenyataan itu) berdasarkan pemerhatian saya, akan ada pertandingan sengit di Nenggiri,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu pada majlis perasmian radio audio siar Universiti UCSI pagi tadi.
Terdahulu, pada episod audio siar podcast Keluar Sekejap Isnin lepas, Khairy menjangkakan peluang BN merampas kerusi DUN Nenggiri daripada PN cerah disebabkan pelbagai kelebihan dimiliki gabungan itu.
Antaranya, Khairy yakin faktor pengaruh Pengarah PRK Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal, akan membantu kemenangan BN.
Selain itu, katanya, langkah menugaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, yang juga Ahli Parlimen Orang Asli pertama, berkampung di kawasan Orang Asli untuk berkempen juga akan dapat meningkatkan sokongan komuniti itu terhadap calon BN.
Khairy hari ini menegaskan: “Walaupun Tengku Razaleigh (Hamzah) orang lama, tetapi beliau masih berpengaruh di kawasan itu.”
Pemimpin PN bagaimanapun menepis ramalan Khairy dengan berkata, kelompok Orang Asli bukan lagi pengundi tetap BN.
Ini dibuktikan dengan kekalahan BN di Parlimen Gua Musang pada PRU15 dan di DUN Nenggiri pada PRN 2023, kata Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor.
PRK Nenggiri akan menyaksikan pertembungan antara BN diwakili Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon PN Mohd Rizwadi Ismail.
Berhubung perkembangan lain, Khairy yang juga bekas menteri kesihatan menyokong saranan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula perintah am berkait cuti bersalin penjawat awam, yang ketika ini ditetapkan antara 60 hingga 90 hari.
Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, semakan itu perlu dilakukan, mengambil kira pindaan Akta Pekerjaan 1955 tahun lepas yang memperuntukkan 98 hari cuti bersalin, serta kemungkinan berlakunya dwistandard antara sektor swasta dan awam.