
Pada Isnin, Dhaka Tribune melaporkan bahawa agensi antirasuah Bangladesh sedang menyiasat sindiket diketuai oleh empat bekas Ahli Parlimen daripada kerajaan terdahulu yang menghantar kira-kira 450,000 pekerja ke Malaysia dalam tempoh satu setengah tahun.
Laporan itu menyebut sindiket melibatkan pegawai kanan kerajaan Malaysia dan Bangladesh itu didakwa menggelapkan RM8.9 bilion dalam proses menghantar pekerja ke Malaysia, dengan ramai daripada mereka pulang semula ke negara asal apabila tidak dapat mencari pekerjaan.
“Saya akan meminta pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan saya laporan menyeluruh,” kata Saifuddin kepada pemberita selepas sebuah program polis hari ini.
Dhaka Tribune melaporkan sindiket itu didakwa mengumpul RM8.9 bilion dengan mengenakan bayaran berlebihan kepada pekerja. Ia juga berkata kementerian kebajikan pekerjaan luar negara ekspatriat Bangladesh tidak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara itu.
Ia melaporkan pekerja dikenakan caj jauh melebihi kos ditetapkan kerajaan Bangladesh iaitu kira-kira RM2,940 untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia dengan purata pekerja membayar hampir tujuh kali lebih banyak atau kira-kira RM20,280.
Ia turut melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bangladesh telah membentuk satu pasukan tiga anggota untuk menyiasat aset dan operasi haram empat bekas Ahli Parlimen yang mengetuai sindiket itu. Kesemua mereka dikaitkan dengan kerajaan Liga Awami sebelum ini.
Malaysia menetapkan bilangan agensi dari Bangladesh untuk pengambilan pekerja sebanyak 25 pada 2022 apabila pasaran buruh dibuka semula selepas pandemik Covid-19. Pada 2023, diumumkan bahawa jumlah itu akan ditingkatkan kepada 100.