Jerman label ketum produk Melayu, kerajaan diminta serius potensi eksport

Jerman label ketum produk Melayu, kerajaan diminta serius potensi eksport

Exco Kedah Dzowahir Ab Ghani berkata pasaran daun itu sangat besar malah negara barat seperti Jerman menjadikannya produk perubatan.

ketum
Exco Kedah berkata ketum kini bukan sahaja digunakan di Thailand malah negara barat seperti Jerman yang menjadikannya produk perubatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kedah meminta Putrajaya ambil serius mengenai potensi daun ketum dijadikan sumber komoditi baharu untuk dieksport secara sah bagi meningkatkan ekonomi rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani, berkata ini berikutan pasaran daun itu sangat besar dan sudah dijadikan sebagai salah satu alternatif perubatan di Thailand.

Katanya, hasrat mengeksport ketum secara sah pernah disuarakan Menteri Besar Sanusi Nor pada 2022, namun sehingga kini belum ada keputusan mengenainya.

“Perkara ini terletak kepada persetujuan kerajaan pusat, baru-baru ini kita buat mesyuarat dengan semua exco pertanian dari seluruh negeri bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.

“Dalam mesyuarat itu dibangkitkan semula mengenai daun ketum dan menteri ambil maklum dan akan dibincang secara halus untuk membolehkan tanaman ketum ini dijadikan hasil pendapatan kerana pasarannya besar,” katanya menurut Harian Metro.

Dzowahir Ab Ghani.

Dzowahir menjawab soalan tambahan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) pada sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Amri bertanya adakah kerajaan negeri setuju menjadikan daun ketum sebagai sumber pendapatan dengan mengeksport bahan itu memandangkan Thailand membenarkan penggunaannya sebagai salah satu rawatan herba.

Dzowahir berkata, ketum kini bukan sahaja digunakan di Thailand malah negara barat seperti Jerman yang menjadikannya produk perubatan.

“Di Jerman mereka namakan produk ketum sebagai kretum dan di botol itu pula ditulis (dilabel) sebagai ‘Malay product.’

“Jadi saya ambil kesempatan ini agar kerajaan ambil serius tentang potensi ketum ini sekiranya dapat diusahakan secara terkawal bukan saja untuk manfaat pendapatan penduduk tapi juga sumber perubatan untuk orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.