
Muhamad Zaki Che Mohamed, 33, mengalami luka di bahagian kaki dan kepala akibat cakaran haiwan liar itu.
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki memaklumkan anak lelakinya diserang haiwan liar pada 9.57 malam Ahad.
“Mangsa didapati tidak sedarkan diri akibat kecederaan dialami sebelum dibawa ke Klinik Jerek untuk mendapatkan rawatan dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka akibat dicakar haiwan liar,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia.
Sik berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti haiwan terbabit dan memasang perangkap.
Beliau menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika keluar bekerja dan bergerak secara berkumpulan bagi mengelakkan diserang haiwan liar.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata lokasi serangan beruang di Kampung Dalam Senduk terletak kira-kira 2km dari tempat Perhilitan memasang perangkap beruang pada 4 Sept lalu.
“Aduan terakhir yang diterima berkaitan gangguan hidupan liar (beruang) di sekitar Kampung Jerek pada 3 Sept lalu.
“Satu perangkap beruang sudah dipasang keesokannya di Kampung Kaling, Jerek yang jaraknya kira-kira 2km dari kejadian semalam,” katanya menurut Harian Metro.