‘Lihat tertib rundingan era Ismail Sabri’, Kiandee beritahu Saifuddin

‘Lihat tertib rundingan era Ismail Sabri’, Kiandee beritahu Saifuddin

Ronald Kiandee berkata keikhlasan berjaya melancarkan proses persetujuan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik diperkenal pada pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Ronald Kiandee membidas dakwaan Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) memilih pendekatan ‘riuh’ di luar berkaitan draf MoU peruntukan pembangkang.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu meminta Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail membandingkan rundingan tertib ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU) termasuk penyaluran peruntukan pembangkang.

Naib Presiden Ronald Kiandee berkata proses ketika itu berjalan baik kerana keikhlasan serta ketertiban rundingan bagi memastikan kestabilan politik untuk melancarkan pentadbiran negara.

Namun kali ini, Ahli Parlimen Beluran itu mendakwa tiada rundingan dan pembangkang seolah-olah diminta bersetuju dengan draf MoU diberikan tanpa dinyatakan jumlah peruntukan hendak disalurkan.

“Seolah-olah kerajaan inginkan pembangkang menolak dan meletakkan beban penolakan itu kepada kita,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang membidas pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana memilih pendekatan untuk ‘riuh’ di luar berkaitan draf MoU peruntukan pembangkang.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pada 15 Sept lepas mengumumkan Ahli Parlimen PN sebulat suara menolak draf cadangan MoU daripada kerajaan dengan mendakwa bertentangan Perlembagaan, dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bagaimanapun menjawab dakwaan Hamzah dengan berkongsi draf tersebut, mengatakan niat kerajaan adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni, dan supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada pemulihan ekonomi, antara lain.

Pada 13 Sept 2021, Ismail menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bersama ketua parti PH, termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi ketua pembangkang.

MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.