Latihan tentera bantu veteran bangkit daripada ‘kemalangan teruk’

Latihan tentera bantu veteran bangkit daripada ‘kemalangan teruk’

Daya tahan Daniel Abdullah dikagumi apabila kembali bekerja segera walaupun mengalami kecederaan tulang belakang.

Daniel Abdullah
Penyelia kilang Daniel Abdullah bertarung nyawa apabila terbabit dalam kemalangan ke tempat kerjanya. (Gambar TalentCorp)
GEORGE TOWN:
Penyelia kilang Daniel Abdullah, yang juga seorang veteran tentera laut, menunggang motosikal ke tempat kerjanya apabila sebuah lori treler tiba-tiba terbabas masuk ke lorongnya, menyebabkannya tercampak dan mengalami kecederaan tulang belakang yang hampir mengancam nyawanya.

Latihan ketenteraan dilaluinya selama berdekad-dekad masih mengalir dalam darahnya, mendorongnya kembali ‘melaporkan diri’ ke tempat kerja dua minggu kemudian. Bagaimanapun, setibanya di kilang Micron Memory Malaysia, tempat beliau bekerja, Daniel pengsan lalu dikejarkan ke hospital.

Tindakan Daniel kembali bekerja dengan segera walaupun mengalami kecederaan tulang belakang yang menyebabkan isu berkaitan saraf menyentuh hati Menteri Sumber Manusia Steven Sim apabila beliau mendengarnya sendiri daripada lelaki itu pada satu acara Jumaat lepas.

Tersentuh oleh keazaman veteran tentera laut itu, Sim memberitahu Daniel: “Kisah anda luar biasa dan memberi inspirasi kepada kami semua,” selepas Naib Presiden Micron Memory Malaysia Ramu Iyer memuji tindakan Daniel melaporkan diri di tempat kerja walaupun melalui sesuatu yang digambarkan sebagai ‘kemalangan paling teruk pernah berlaku’.

Sim berkata, daya tahan dimiliki Daniel menunjukkan kaliber dan nilai tinggi veteran tentera dalam tenaga kerja kerana ‘sentiasa menepati masa, berdisiplin dan setia’.

Menteri itu menyampaikan plak penghormatan kepada kumpulan pertama 25 veteran yang menyertai Micron Memory melalui program Veteran MyWira, inisiatif TalentCorp bertujuan mengintegrasi semula veteran yang masih dalam lingkungan usia bekerja dalam tenaga kerja.

Kumpulan veteran itu menjalani program latihan selama tiga bulan di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang dan Pusat Kecemerlangan Walta. Setelah selesai menjalani program itu, mereka diambil bekerja oleh Micron Memory sebagai juruteknik dan penyelia.

Program itu, yang disokong oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), membantu pesara askar beralih kepada pekerjaan awam selepas 21 tahun perkhidmatan berpencen.

Sekumpulan 25 veteran yang kini bekerja menerusi program itu meraih pendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan.

Peluang kedua yang berharga

Sim turut bercakap dengan dua lagi veteran bekerja di Micron Memory, iaitu Fauzi Soib, 39, dan Ruteradevan Sugumaran, 45, yang berkongsi kesulitan dihadapi mereka menjalani hidup sebagai orang awam.

Ruteradevan, bekas anggota Kor Armor Diraja yang kini bekerja sebagai penyelia pengeluaran berkata, satu-satunya tawaran pekerjaan diterimanya selepas bersara adalah sebagai pengawal keselamatan dengan gaji yang rendah.

“Sekurang-kurangnya di sini, saya boleh terus bekerja dan menampung kehidupan keluarga,” katanya.

Fauzi, bekas sarjan tentera yang kini seorang penyelia kawalan kualiti berkata, mencari pekerjaan awam adalah suatu tugas mencabar, dengan ramai veteran menjadi sasaran penipuan pekerjaan.

“Mendapatkan pekerjaan ini adalah satu rahmat,” katanya, berterima kasih kepada Sim atas usaha kerajaan.

Usaha sama TalentCorp dengan NCIA

Sim turut menyaksikan pemeteraian usaha sama antara TalentCorp dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk menggunakan geran Program Meister Teknologi Lanjutan (ATMP) bagi menyokong majikan di wilayah utara yang menyertai program Veteran MyWira, dengan fokus pada peningkatan kemahiran.

Menurut Sim, empat syarikat baharu – FedEx, Western Digital, Walta COE dan Hilton Malaysia – turut menyertai inisiatif Veteran MyWira.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Semaon Marjuki berkata, langkah meningkatkan kemahiran dan melatih veteran untuk pekerjaan awam yang boleh memberikan pendapatan lebih baik dilakukan pada masa genting, kerana ramai veteran berdepan masalah kewangan selepas bersara, terutamanya apabila harga barangan semakin naik.

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Group Thomas Mathew berkata, agensi itu – yang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk industri dan akademik, untuk menjalankan program intervensi memanfaatkan lubuk bakat yang belum diterokai – komited untuk meningkatkan taraf hidup veteran melalui inisiatif seperti Veteran MyWira.

“Dengan memanfaatkan kelengkapan TalentCorp, seperti platform pemprofilan MyNext, dan menghubungkan veteran dengan rakan kongsi industri melalui ‘MyMahir Future Skills Talent Councils’, kami menyasarkan untuk memudahkan peralihan mereka ke dalam tenaga kerja.”

Mathew turut menggalakkan lebih banyak syarikat pelbagai industri untuk menawarkan peluang yang sama bagi wira-wira negara ini, membolehkan mereka membina kerjaya berkualiti selepas perkhidmatan tentera tamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.