
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata dapatan TalentCorp menunjukkan kebanyakan pekerjaan itu melibatkan industri berintensiti buruh, seperti sektor perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan perniagaan global; dan pembuatan makanan dan perkhidmatan.
Namun, Sim mahu meredakan kebimbangan berkait AI, digitalisasi, dan ekonomi hijau membawa kepada kehilangan pekerjaan, sambil menyatakan laporan yang akan dikemukakan kepada umum pada November, tidak perlu dilihat secara ‘sinikal dan negatif’.
Katanya, walaupun ada beberapa pekerjaan yang akan terhapus, tidak semestinya bermaksud orang ramai akan kehilangan kerja.
“Peranan lapuk sebelum ini boleh berpindah ke sektor lain yang makin berkembang. Seramai 600,000 pekerja boleh dilatih semula dan dialihkan ke sektor lain,” katanya pada taklimat media.
Menurut Sim, laporan pertama yang mengambil masa enam bulan itu dilengkapkan pada September, menumpukan kepada 10 sektor ekonomi terbesar yang menyumbang sekitar RM933 bilion atau 60% Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.
Katanya, terdapat empat bidang kerja sedang berkembang dalam 10 sektor terbabit, seperti jurutera AI, penganalisis data, saintis data, dan koordinator kemampanan.
Beliau berkata, kajian berkenaan di mana masih berjalan dan sentiasa dikemas kini antaranya menjurus kepada impak AI dan trend masa depan.
“Kita melakukan ini (laporan) agar kerajaan dan industri boleh membuat persiapan sendiri dan tidak mengejut terkesan,” katanya.
Sim berkata, langkah agresif kerajaan kepada teknologi tinggi, sektor bernilai tinggi dan cepat berkembang, membawa kepada pelaburan gergasi teknologi seperti Google dan Microsoft, baru-baru ini.
“Jadi, laporan pertama menyediakan peta jalan bagaimana trend ini akan memberi impak kepada pekerjaan,” katanya.