Tak munasabah peniaga kecil ‘tertekan’ dengan penguatkuasaan Akta 852, kata Dzulkefly

Tak munasabah peniaga kecil ‘tertekan’ dengan penguatkuasaan Akta 852, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan itu menyangkal dakwaan bahawa pematuhan larangan pameran rokok memakan kos yang begitu besar bagi setiap peniaga.

Menurut Dzulkefly Ahmad, tidak munasabah peniaga kecil perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menaik taraf kabinet pameran produk merokok bagi mematuhi peraturan bawah Akta 852.
PUTRAJAYA:
Menteri kesihatan menyifatkan dakwaan bahawa pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memberi tekanan kewangan yang besar kepada peniaga kecil sebagai tidak tepat.

Menurut Dzulkefly Ahmad, tidak munasabah peniaga kecil perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menaik taraf kabinet pameran produk merokok.

“Apa yang perlu dibuat hanya memasang penutup kabinet pameran dan mematuhi peraturan yang ditetapkan (bawah Akta 852).

“Saya tak rasa untuk pasang penutup memakan kos sehingga RM6,000, mungkin sekitar beberapa ratus ringgit sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau juga menjelaskan, tempoh enam bulan bagi semua pemain industri mematuhi peraturan membabitkan pameran produk bawah Akta 852 adalah suatu bentuk penguatkuasaan bersifat pendidikan.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) menyeru KKM agar menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok mengikut Akta 852.

Presidennya, Hong Chee Meng berkata, larangan itu dilaksanakan tergesa-gesa tanpa sebarang rundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.

Dakwanya, langkah itu membebankan perniagaan kecil kerana setiap peruncit mungkin menanggung kos dianggarkan hingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran.

Secara keseluruhan, katanya, kos boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan larangan tersebut di seluruh negara menjelang 1 April 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.