
Ahli Parlimen Subang itu berkata, semua pegawai terbabit dalam pengusiran Nuon Toeun ke Kemboja perlu dipanggil menjelaskan keputusan mereka.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid untuk memulakan pendengaran pada bulan depan atau Disember ini.
Leong ialah pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, manakala Syerleena mengetuai Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Polisi Pelarian.
Wong yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, bimbang dengan pengusiran segera Nuon hanya dalam dua hari selepas ditahan.
“Dia ditahan pada Sabtu dan diusir pada Isnin. Jelas sekali dia tiada akses kepada peguam. Terdapat kekurangan proses wajar dalam kes ini.
“Keputusan mengusirnya dengan terburu-buru mencemarkan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia. Pendengaran Parlimen boleh membantu membetulkan perkara ini,” katanya kepada FMT.
FMT pada 3 Okt lalu melaporkan beberapa kumpulan hak asasi manusia mengkritik Putrajaya kerana mengusir Nuon yang didakwa menunjukkan dirinya bersubahat dalam penindasan transnasional.
Menurut laporan, Nuon yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia, ditahan pihak berkuasa atas permintaan kerajaan Kemboja.
Wanita itu kini ditahan di penjara Phnom Penh dan didakwa atas tuduhan menghasut untuk melakukan jenayah atau mencetuskan kekacauan sosial serta hasutan mendiskriminasi berdasarkan kaum, agama atau kewarganegaraan.
Wong berkata, beliau sedang mempertimbangkan membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan akan menggesa kerajaan meminda prosedur bagi permintaan pengusiran sedemikian.
“Kita akan tahu prosedur operasi standard sedia ada melalui pendengaran dahulu.”
Wong berkata, tahanan perlu diberi masa mendapatkan nasihat undang-undang dan membela diri, sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal, di mana mereka boleh berdepan penyeksaan, penganiayaan dan bahkan kematian.
“Jika mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang Malaysia, tahanan perlu diberi hak untuk mencabar perintah pengusiran secara sah. Tempoh tiada pengusiran sekurang-kurangnya dua minggu perlu dikuatkuasakan bagi semua kes, apatah lagi yang membabitkan pendapat politik.”