Bersatu perlu tawar naratif jaga semua kaum, kata Wan Fayhsal

Bersatu perlu tawar naratif jaga semua kaum, kata Wan Fayhsal

Namun ketua Pemuda Bersatu menegaskan falsafah asal perjuangan parti yang beracuankan Melayu Islam tidak dilupakan.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmal Kamal menjelaskan Bersatu tidak lagi boleh bergantung kepada undi protes ahli Umno.
PETALING JAYA:
Bersatu perlu menawarkan naratif lebih luas memperjuangkan semua kaum dan agama tanpa melupakan falsafah perjuangan utamanya beracuankan Melayu Islam, kata Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan parti bulan depan, Ahli Parlimen Machang berkata mereka perlu menjuarai isu rakyat tanpa mengira latar pengundi sebagai strategi menawan Putrajaya.

Menurut Wan Fayhsal, strategi dirangka seperti memperkasa sayap Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diharap dapat menambah sokongan sekali gus membantu Perikatan Nasional (PN) menyumbang sejumlah kerusi bagi menguatkan kedudukan membentuk kerajaan.

“Di Bersatu kami bukan saja buka tetapi meletakkan pemimpin bukan Melayu sebagai (sama taraf) naib presiden (Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full) dan kami yakin menjelang PRU16 dapat lahir ramai calon dalam kalangan bukan Melayu.

“Mereka akan diketengahkan untuk memberi saingan kepada PH dan BN (Barisan Nasional) untuk menang di kerusi campuran. Sebab itu kita mahu menjuarai isu rakyat tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Namun, Wan Fayhsal menegaskan perjuangan Melayu Islam yang menjadi teras parti yang ditubuhkan pada Januari 2017 perlu diteruskan.

“Falsafah perjuangannya mesti berakarkan dan beracuankan Melayu Islam,” katanya mengingatkan setiap pemimpin Bersatu termasuk penggantinya sebagai ketua Pemuda selepas pemilihan parti.

Wan Fayhsal tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2020 itu kerana melepasi had usia bagi mengetuai sayap terbabit.

Pertandingan bagi jawatan itu bakal menyaksikan pertembungan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir dan Adun Gombak Setia Hilman Idham.

 Tak boleh bergantung undi protes Umno

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu berkata, Bersatu juga memerlukan naratif lebih luas melangkaui pelbagai lapisan masyarakat kerana tidak lagi boleh bergantung undi protes Umno memandangkan peralihannya yang semakin surut.

“Kalau ingin keluar dari (bergantung) undi protes, kita kena tampil tampil manifesto, naratif atau susuk pemimpin diyakini rakyat.

“(Pemimpin) Perlu bebas skandal, tiada beban atau liabiliti membuatkan pengundi tolak atau meluat,” katanya.

PN diterajui Bersatu dan PAS berjaya mencatat keputusan baik di kerusi majoriti Melayu pada PRU15 dan PRN di enam negeri susulan peralihan sokongan ahli Umno kepada komponen itu.

Pada PRU15, PN menang 74 kerusi yang sebahagian besar di kerusi majoriti Melayu selain merampas pentadbiran di Perlis manakala mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.