
Injunksi Mareva ialah perintah mahkamah yang membekukan aset defendan daripada digunakan sementara menunggu keputusan tindakan undang-undang.
Peguam Najib, Farhan Shafee, memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng bahawa rayuan itu dihentikan kerana ia telah menjadi akademik.
Lee, yang bersidang bersama Hakim Choo Kah Sing dan Azman Abdullah, kemudian membatalkan rayuan dan memberikan kos RM30,000 kepada 1MDB.
Peguam Khoo Guan Huat, Siva Kumar Kanagasabai, Dhanyaa Shreeya Sukumar dan Pavidren Sivananda Rastnam mewakili syarikat berkaitan kerajaan itu.
Kerajaan, melalui 1MDB dan anak syarikatnya – 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd dan Global Diversified Investment Company Ltd – memfailkan saman terhadap Najib dan 14 yang lain pada Mei 2021.
Mereka mendakwa Najib dan yang lain melakukan salah nyata palsu, pelanggaran kewajipan, pelanggaran kewajipan berkanun dan pengayaan yang tidak adil.
Bagaimanapun, prosiding dihentikan terhadap tujuh daripada defendan – bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengarah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir.
Selain Najib, prosiding melibatkan defendan yang masih berjalan ialah Loo Ai Swan, juga dikenali sebagai Jasmine Loo, Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, Vincent Koh, Nik Faisal Ariff Kamil, Kelvin Tan dan Radhi Mohamad.
1MDB memperoleh injunksi terhadap Najib atau ejennya pada 2022, membekukan asetnya berhubung tuntutannya sebanyak USD681 juta terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan itu, sehingga keputusan dicapai dalam kes saman sivil.
Perintah mahkamah membenarkan Najib mengeluarkan RM100,000 setiap bulan untuk perbelanjaan harian dan yuran guaman.
Pada 27 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan injunksi itu berikutan perbicaraan inter parte. Najib merayu keputusan di Mahkamah Rayuan.
Saman sivil itu dijadualkan untuk pendengaran pada 24 Julai 2025.