Belanjawan 2025: Persatuan pelancongan persoal tiada insentif cukai

Belanjawan 2025: Persatuan pelancongan persoal tiada insentif cukai

Persekutuan Pelancongan Malaysia berkata ramai pemain industri memohon insentif cukai diperkenal untuk berdepan cabaran mendesak.

melaka
Anwar Ibrahim umum RM550 juta bagi mempergiatkan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pelancongan berpendapat insentif cukai khusus sepatutnya diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 walaupun menyambut baik peruntukan RM500 juta untuk promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia Tan Kok Liang berkata insentif itu amat diperlukan dalam membantu mereka untuk berdepan cabaran perniagaan semasa.

“Secara umumnya tiada insentif cukai khusus diumumkan untuk menyokong cabaran mendesak industri pelancongan selain pemuliharaan budaya (RM600 juta untuk memulihkan serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara).

“Insentif cukai diharapkan pemain industri tidak dipenuhi atau diperkenalkan dan diperbaiki untuk memenuhi keperluan perniagaan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan RM550 juta bagi mempergiatkan promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menurut Anwar yang juga menteri kewangan, peruntukan itu akan digunakan menganjurkan kegiatan budaya, pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia, serta pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraftangan dan batik.

Tan turut meminta kerajaan mempertimbang menyemak semula Akta Industri Pelancongan 1992, yang disifatkan lapuk, dan beberapa peraturan sedia ada yang tidak wajar disebabkan perubahan landskap pelancongan.

Beliau bagaimanapun menyambut baik usaha memulihara pusat bersejarah di ibu negara seperti Bangunan Sultan Abdul Samad kerana Kuala Lumpur menjadi pintu masuk utama pelancong antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Nigel Wong menggesa RM550 juta itu dengan cekap dan menyediakan garis panduan sangat jelas berhubung kelayakan kepada pemegang taruh.

“Peningkatan dalam bajet pelancongan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 ialah perkara yang positif.

“Bagaimanapun, pada ketika ini, masih belum ditentukan bagaimana dana tersebut dan jumlah peruntukan secara khusus akan memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Wong berkata, usaha kerajaan memperkasa eko pelancongan wajar dipuji, namun pemain industri tempatan turut perlu diperkasa, terutamanya yang berusaha membawa masuk pelancong luar.

Hal ini dapat dilakukan dengan memastikan mereka mempunyai pembiayaan dan sumber yang diperlukan untuk memasarkan produk pelancongan Malaysia dengan lebih agresif, tambahnya.

“Dengan itu kita berupaya menaikkan nama Malaysia sebagai destinasi percutian yang menarik, mudah diakses dan selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.