
Keputusan itu dibuat Majistret Siti Zubaidah Mahat terhadap Alyaa Zahwa Salim, 18, Putri Nurul Suhaila Abdullah, 18, Muhammad Asran Ghazalie, 23 dan Muhammad Adha Abdullah, 20, dan memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari penjaga sah di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi, Klang sekitar 3 petang, 8 Okt lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, semua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta Perodua Myvi yang disewa ke sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur.
Mangsa telah ditinggalkan di kediaman itu sebelum pulang menggunakan kenderaan e-panggilan pada 12 Okt selepas empat hari dilaporkan hilang.
Semua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi.
Terdahulu, Muhamad Saifullah memohon mahkamah mengenakan kelakuan baik terhadap tiga pesalah muda itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi membantah bon berkenaan kerana kes berkenaan tular dan mendapat perhatian umum.
“Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari menyebabkan kecederaan kepada mangsa berdasarkan laporan perubatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita di sekitar Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran yang disyaki terlibat menculik kanak-kanak perempuan, selain merampas kereta yang digunakan suspek.
Mangsa dilaporkan hilang pada 8 Okt sebelum ditemui selamat pada 12 Okt, dipercayai diculik.