Tuntutan kerusi Amanah-Umno Johor gambarkan kerjasama akar umbi lemah

Tuntutan kerusi Amanah-Umno Johor gambarkan kerjasama akar umbi lemah

Mazlan Ali berkata keadaan itu berbeza dengan kenyataan pemimpin yang menyatakan kerjasama BN-PH berjalan baik.

bn ph
Penganalisis Mazlan Ali berkata pemimpin akar umbi harus menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai hubungan baik.
PETALING JAYA:
Isu perebutan kerusi berlanjutan sewaktu PRK DUN Mahkota sehingga kini menggambarkan kerjasama Amanah dan Barisan Nasional (BN) ditunjangi Umno belum utuh di peringkat akar umbi di Johor, kata penganalisis.

Pada PRK September lalu, Amanah Kluang mahu mewakili kerajaan perpaduan dengan alasan pernah menang pada PRU14, di sebalik kerusi itu disandang BN yang merampasnya semula pada PRN Johor 2022.

BN akhirnya dipilih dan menang majoriti lebih 20,000 undi dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH).

Mengulas sasaran terbaharu Amanah Johor mahu bertanding 20 kerusi pada pilihan raya akan datang yang mungkin menyebabkan pertembungan dengan BN, Mazlan Ali berkata keadaan itu sepatutnya dielakkan.

Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata tuntuan Amanah mungkin berdasarkan 20 kerusi ditandinginya pada PRN Johor dua tahun lalu, namun hanya menang satu kerusi di Simpang Jeram.

Namun, Mazlan menjelaskan dalam konteks terkini apabila keduanya dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat, mereka perlu dilihat bekerjasama seperti sering ditegaskan pimpinan masing-masing.

“Bila isu (tuntut kerusi dan pertikaian pendapat) seperti ini kerap dimainkan… ia beri gambaran tidak ada kerjasama erat di akar umbi (BN dan Amanah) walaupun pucuk pimpinan mengatakan mereka ada hubungan baik.

“Jadi pemimpin bawahan kena akur arahan pimpinan atasan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad berkata parti itu mahu bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.

Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman dalam kenyataan balasnya menegaskan parti terbabit sedia ‘berperang’ dengan Amanah.

Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi menjelaskan itu hanya pendapat peribadi pemimpin berkenaan.

Pada September tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri ditubuhkan sebelum PRU15.

Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata cadangan Amanah Johor itu tidak perlu terlalu diberi perhatian kerana rekod PRN Johor, dua tahun lalu menunjukannya hanya menang satu kerusi.

“Seperti PRK Mahkota formula dipersetujui BN dan PH Johor ialah penyandang dibenar bertanding, PH dahulu menang 14 kerusi dengan satu oleh Amanah.

“Jadi nampak tak logik kalau nak bertanding sampai 20 DUN, tak perlu diberi perhatian berat (hasrat Amanah Johor),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.