Eksport produk halal negara lebih RM45 bilion sehingga September 2024

Eksport produk halal negara lebih RM45 bilion sehingga September 2024

Jumlah ini meningkat daripada RM39.36 bilion yang dicatatkan dalam tempoh Januari hingga September tahun lepas, menurut Miti.

Halal Logo
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, usaha melahirkan juara halal tempatan akan lebih tertumpu kepada pemain industri yang serius menerokai pasaran eksport.
KUALA LUMPUR:
Jumlah eksport produk halal negara setakat Januari sehingga September 2024 berjumlah RM45.04 bilion, berbanding RM39.36 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2023.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Liew Chin Tong bagaimanapun berkata, keupayaan Malaysia menguasai pasaran halal masih terbatas kerana pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih rendah.

“Kajian awal Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) yang dijalankan menunjukkan bahawa anggaran nilai pasaran halal global ialah RM5 trilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 pada peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjelaskan persoalan berkenaan isu penggabungan agensi Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen.

Justeru, katanya, dalam usaha negara menggandakan nilai eksport produk halal dan membantu mencari pasaran sasaran, penggabungan HDC dengan Matrade adalah suatu keputusan yang wajar.

Hal ini kerana Matrade mempunyai rangkaian pasaran sedia ada yang boleh dipelopori oleh pemain industri halal negara, tambahnya.

“Miti berpandangan inisiatif penggabungan ini akan meningkatkan sinergi kerjasama HDC-Matrade dan mengoptimumkan sumber sedia ada terutama dalam mempromosikan industri halal supaya lebih efektif dan berdaya saing.

“Pada masa yang sama, usaha melahirkan juara halal tempatan akan lebih tertumpu kepada pemain industri yang serius menerokai pasaran eksport,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.