3 ditahan, polis rampas dadah lebih RM200,000

3 ditahan, polis rampas dadah lebih RM200,000

Salah seorang suspek yang merupakan dalang sindiket pengedaran dadah berjaya ditahan di Jalan Panglima Bukit Gangang Wahab, Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas, pada sidang media di IPK Perak hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah, dan merampas heroin serta ganja bernilai lebih RM200,000 dalam tiga serbuan di sini baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang 31 Okt lepas, polis menahan seorang suspek berumur 41 tahun sekitar sini, yang membawa polis kepada serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan St John, Rabu lepas.

Beliau berkata dalam serbuan itu polis menemukan 42 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 18.9 kilogram serta dua ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja seberat 961 gram di dalam rumah berkenaan.

Zulkafli berkata seterusnya polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan dalang sindiket di Jalan Panglima Bukit Gangang Wahab di sini pada 1.30 tengah hari Khamis lepas, dan seorang lagi suspek berumur 45 tahun di sebuah rumah di Taman Mas di sini kira-kira setengah jam kemudian.

“Suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala ujian air kencing ke atas dua lagi lelaki mendapati kedua-duanya negatif dadah. Dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal serta barang-barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM105,680 dan siasatan mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak Ogos lepas.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.