
Presidennya, Adnan Mat berkata, pelbagai langkah telah diambil dan diselaraskan untuk memastikan kualiti daya pengeluaran terus dipertingkat, menerusi proses dan sistem teratur yang akan dilaksanakan.
“Cuepacs yakin waktu bekerja yang pendek benar-benar akan membawa kepada peningkatan produktiviti kerana para pekerja berasa bersemangat dan dihargai,” katanya dalam kenyataan.
Mengambil contoh negara maju yang lain, Adnan berkata, meskipun waktu kerja dipendekkan, langkah tersebut tidak menjejaskan sedikit pun daya pengeluaran sumber manusia di negara berkenaan, sebaliknya membantu meningkatkannya.
“Iceland antara kayu pengukur kejayaan kepada pengurangan waktu kerja, iaitu daripada purata 40 jam kepada 35 jam seminggu,” katanya.
“Pekerja dapat menikmati hidup yang lebih sihat, bekerja tanpa tekanan dan seterusnya diterjemahkan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan. Usaha ini secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan pekerja.”
Semalam, Johor dilaporkan sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat hari setengah seminggu.
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah ini susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.
Sehubungan itu, Adnan berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong langkah kerajaan Johor selain menegaskan cadangan tersebut tidak wajar dilihat dari sudut negatif kerana telah pun dilaksanakan sebelum ini.
“Malah pada 1 Jan 2023, kerajaan melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) sudah menetapkan tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu sebelum itu,” katanya.