
Ahli Parlimen Libaran itu menjelaskan mereka hanya mengetahui kes terbabit menerusi media sebelum mendesak tindakan tegas diambil kerana meragui pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor susulan pembabitan beberapa wakil rakyat kerajaan termasuk menteri Kabinet.
“Macam mana kata Umno terbabit sedangkan semua dikeluarkan pemberi maklumat menerusi MalaysiaKini, kita pun hanya lihat dari sana dan belum pasti situasi sebenar.
“Saya nafi Umno terbabit dan kita langsung tidak tahu menahu,” katanya kepada FMT sambil menambah pendedahan itu boleh menyukarkan usaha membawa masuk pelabur.
Beliau diminta mengulas sekiranya Umno menjadi dalang di sebalik individu mendakwa dirinya pemberi maklumat dalam dakwaan rasuah perlombongan mineral yang bertiup kencang sejak November lalu.
Persoalan ada pihak tertentu menjadi dalang kepada kontroversi itu dibangkitkan ahli akademik Tajuddin Rasdi semalam kerana pendedahan dibuat menjelang PRN Sabah dijadual tahun depan susulan tamat penggal pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Oktober 2025.
“Adakah ada tangan tersembunyi bergerak di belakang tabir dalam usaha memenangi pilihan raya melalui perbicaraan media?,” kata kolumnis FMT itu.
Semalam, Pemuda Umno Sabah mendesak Hajiji supaya berundur bagi membolehkan siasatan kes rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun dapat dijalankan secara bebas dan telus.
Suhaimi turut mengulangi gesaan sama dengan alasan untuk membersihkan imej kerajaan Sabah yang terpalit teruk kerana tuduhan itu membabitkan menteri penuh, pembantu menteri dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Antaranya Menteri Kewangan Masidi Manjun yang juga Adun Karanaan. Namun, beliau pada Selasa lalu tampil sukarela ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan berkenaan video tular mengaitkannya.
“Kalau tiada tindakan segera termasuk letak jawatan oleh ketua menteri, boleh menyebabkan imej kerajaan negeri terus merudum dan akhirnya kerajaan hilang kepercayaan rakyat untuk mengurus pentadbiran,” kata Suhaimi.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan terdapat lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai ‘pecahan komisyen’ untuk lesen projek perlombongan mineral.
Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya sedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.
Hajiji pula berkata beliau tiada apa untuk disembunyikan dan menegaskan tiada lesen melombong kepada mana-mana pihak di sebalik dakwaan dalam video disebarkan pemberi maklumat.
Pengerusi GRS itu turut menegaskan tidak akan tunduk dengan usaha pihak tertentu menjadikan kes berkenaan sebagai propaganda politik dengan niat jahat mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik.