Insiden Jalur Gemilang terbalik, KBS rangka kod baharu pemakaian atlet

Insiden Jalur Gemilang terbalik, KBS rangka kod baharu pemakaian atlet

Menteri Hannah Yeoh berkata setakat ini tiada peraturan tatatertib atau kod boleh dipakai berkait insiden bendera Malaysia terbalik pada jersi Lee Zii Jia.

Penaja pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, Victor memohon maaf atas kesilapan logo Jalur Gemilang terbalik.
PETALING JAYA:
Kod etika baharu berkait penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian atlet akan dirangka bertujuan mengelak insiden bendera Malaysia terbalik pada jersi dipakai Lee Zii Jia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, berkata ketika ini tiada peraturan tatatertib atau kod berkaitan yang boleh digunapakai.

“Setakat ini kita tiada ada tatatertib atau kod yang kita boleh guna pakai, namun kita lihat dan saya akan meminta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk lihat apa yang kita boleh lakukan lagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Semalam, penaja pemain perseorangan profesional negara itu, Victor, membuat permohonan maaf berhubung kesilapan logo Jalur Gemilang terbalik di jersi pemain itu pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Victor Malaysia dalam kenyataan dimuat naik di akaun X, mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden itu, sambil menjelaskan ia tidak menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaan, atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.

Katanya, mereka amat kesal dengan kesilapan itu yang tidak disengajakan.

Logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen jelas kelihatan di televisyen dan mencetuskan kekecohan di media sosial.

Pada perlawanan pertama kumpulan A itu, Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.