Sarawak antara negeri tertinggi terima guru baharu, kata Fadhlina

Sarawak antara negeri tertinggi terima guru baharu, kata Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sehingga November lalu seramai 1,697 guru daripada 13,748 lantikan baru ditempatkan di Sarawak.

Fadhlina Sidek-
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pengisian guru juga berjaya ditingkatkan kepada 98.6% selepas urusan Pengambilan Khas Sarawak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan selesai semalam.
KUALA LUMPUR:
Sarawak merupakan antara yang negeri tertinggi menerima guru baharu iaitu sebanyak 1,697 daripada 13,748 lantikan tetap sehingga November lalu, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pengisian guru juga telah berjaya ditingkatkan kepada 98.6% selepas urusan Pengambilan Khas Sarawak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai semalam.

SPP mengumumkan keputusan temu duga Urusan Pengambilan Guru tahun 2024 (pasaran terbuka) dan Pengambilan Khas Sarawak semalam dan seramai 7,645 calon berjaya ditawarkan pelantikan oleh SPP.

“Dalam kedua-dua urusan pengambilan ini di mana seramai 1,372 calon adalah bagi penempatan di Sarawak,” katanya semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak yang berlarutan sejak sekian lama.

Chiew juga meminta Fadhlina untuk menyatakan perkembangan terkini berhubung usaha-usaha yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu ini.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata atas usaha tersebut, KPM berjaya mengurangkan bilangan kekosongan guru di Sarawak sehingga 837 orang guru.

Beliau berkata KPM akan berusaha untuk memastikan kekosongan guru ini dapat diatasi dari semasa ke semasa.

“Pada masa yang sama, keutamaan akan diberikan kepada guru kelahiran Sarawak untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.