
Ditemui pemberita selepas kongres khas PKR, Anwar berkata parti itu memegang prinsip terbuka untuk menerima sesiapa sahaja, namun tidak mengajak selain mahu proses itu dilakukan secara baik.
“Sekarang ada perbincangan awal dan sedang dalam perbincangan,” kata perdana menteri mengulas ura-ura penyertaan menteri pelaburan, perdagangan dan industri ke PKR.
Jumaat lalu, FMT melaporkan rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, memetik sumber dalaman Umno Selangor.
Bagaimanapun, Presiden Umno Zahid Hamidi semalam mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul berkait ura-ura penyertaannya dalam PKR.
Ditanya sama ada Tengku Zafrul minat menyertai PKR, Anwar berkata: “Kena tanya dia”.
Mengulas lanjut, Anwar berkata PKR terbuka menerima mana-mana ahli atau pemimpin yang boleh memberi sumbangan tetapi mestilah dilakukan dengan cara baik.
“(Ini) supaya hubungan dengan parti-parti termasuk Umno dan rakan-rakan baik.
“Selama ini dari segi dasar kalau hubungan dan pengalaman Pakatan Harapan (PH) tidak galakkan tetapi tak pernah halang malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik dengan parti,” katanya.
Spekulasi penyertaan Tengku Zafrul yang juga ketua Umno Kota Raja ke PKR bertiup kencang kebelakangan ini sehingga ada khabar angin mengaitkannya dengan perubahan tampuk pemerintahan Selangor yang kini diketuai Naib Presiden Amirudin Shari.
Ini memandangkan tempoh perkhidmatan Tengku Zafrul sebagai ahli Dewan Negara akan tamat pada hujung 2025 selain wujud pendapat Amirudin selaku pemimpin kanan PKR perlu berkhidmat di kerajaan persekutuan.
Namun, Amirudin semalam menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan seperti dinasihatkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tengku Zafrul menjadi ahli Umno sejak 1997 dan menang ahli MKT pada Mac lalu dalam pemilihan parti penggal 2023-2026.
Terdahulu, dalam satu majlis di Sabak Bernam, Tengku Zafrul berkata beliau akan membuat kenyataan dalam masa terdekat berhubung spekulasi terbabit.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Zahid semalam turut mengingatkan pemimpin Umno untuk menjaga integriti daripada termakan tawaran bersifat kepentingan individu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga membuat teguran kepada rakan komponen dalam kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli parti lain.