Mesej WhatsApp Ebit Lew dipadam, gagal diperolehi, kata saksi

Mesej WhatsApp Ebit Lew dipadam, gagal diperolehi, kata saksi

Pegawai CyberSecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib berkata hanya perbualan telefon melalui WhatsApp dapat dikesan daripada telefon bimbit pengadu.

ebit lew
Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan mangsa dengan menghantar perkataan dan gambar lucah kepada wanita itu melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021. (Gambar Bernama)
TENOM:
Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret bahawa mesej WhatsApp antara pengadu dan pendakwah bebas itu yang telah dipadam, tidak dapat diperoleh semula.

Ketua Divisyen, Perkhidmatan Teknologi Responsif CyberSecurity Malaysia, Mohd Zabri Adil Talib, 45, selaku saksi ke-15 mengakui melakukan analisis terhadap dua kad sim milik pengadu dan satu milik Ebit menggunakan perisian khas.

“Saya maksudkan tidak dapat peroleh mesej yang dipadam merujuk kepada semua nombor… Sekiranya mesej WhatsApp dipadam, ia tidak dapat dikesan semula kerana kekangan teknologi yang ada pada masa kini,” katanya dalam kenyataan bertulis bagi menjawab pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi.

Beliau berkata pihaknya membuat analisis terhadap tiga nombor itu berdasarkan permohonan daripada Pegawai Penyiasat Polis, Noor Asyikin Shamsuri yang memohon untuk mengesan maklumat perbualan yang dipadam dalam aplikasi WhatsApp.

Zabri selaku individu yang mengesahkan laporan digital forensik kes berkenaan berkata pemeriksaan itu juga hanya dapat dilakukan terhadap telefon bimbit milik pengadu, kerana telefon bimbit Ebit tidak mempunyai aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata hanya jumlah perbualan telefon melalui WhatsApp dapat dikesan daripada telefon bimbit pengadu, yang mempunyai maklumat serta sejarah komunikasi dengan pendakwah berkenaan.

Ebit, 39, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 11 hingga 14 Mac depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.