Seni kepala singa di ufuk senja, wanita tekad pelihara budaya

Seni kepala singa di ufuk senja, wanita tekad pelihara budaya

Malaysia adalah jaguh tarian singa dunia namun hanya beberapa pasang tangan yang memelihara seni menghasilkan kepala singa.

Lo Fo Chi
Lim Meng Kok dan anaknya Lim Seow Ling sibuk menyiapkan tempahan kepala singa sempena Tahun Baharu Cina.
PETALING JAYA:
Selepas lebih empat dekad memelihara seni pembuatan kepala singa tanah air yang terkenal di serata dunia, Lim Meng Kok, boleh menarik nafas lega apabila anak perempuan sudi meneruskan legasinya.

Dua tahun lalu, ‘Master Lim’ dilaporkan salah seorang daripada hanya 10 pembuat kepala singa dalam negara. Tidak menang tangan setiap kali Tahun Baharu Cina, Lim, 77, mengeluh generasi muda tidak berminat menceburi bidang pembikinan kepala singa — unsur penting dalam tarian dengan sejarah seawal kurun ketiga masihi di China.

Seow Ling, 45, memberitahu FMT dia memasang cita-cita meneruskan perusahaan bapanya sejak kecil, seawal usia sembilan tahun apabila diperkenalkan kepada seni kraftangan itu.

“Dari kecil saya lihat bapa buat. Saya sendiri pun suka,” kata ibu kepada dua cahaya mata.

Tarian singa di negara ini ‘hidup’ lantaran tekad sebuah komuniti memelihara budayanya, dan kini menjadi aktiviti melibatkan masyarakat daripada pelbagai kaum.

Setiap dua tahun kejohanan ternama tarian singa akan diadakan, di mana pasukan dari pelbagai negara berdepan jaguh Malaysia yang digeruni.

Di sebalik semua ini, hanya ada beberapa pasang tangan yang tekad memastikan kemahiran menghasilkan kepala singa tidak lenyap.

Seow Ling akui kerumitan menghasilkan kepala singa. Wanita handal ini mengambil masa lebih separuh dekad untuk menguasai kemahiran.

Namun, ia bertambah susah apabila tidak cukup tenaga mahir.

Lo Fo Chi
Ahli Meng Kok Dragon & Lion Dance Troupe menggayakan kepala singa dihasilkan Lim Meng Kok atau turut dikenali ‘Master Lim’.

“Satu orang buat banyak susah. Mesti banyak orang. Jadi setiap satu langkah pun ada satu orang,” katanya.

Seow Ling mengenang susah payah bapanya mengusahakan bengkel dari kosong sehingga menjadi sanggar yang terkenal.

Beliau berharap ramai orang berminat untuk memelihara secebis warisan Malaysia ini.

“Saya nak banyak orang belajarlah. Mesti ini pun kita. Sayanglah kalau tak mau buat. Mahu cari banyak orang belajar. Tengok siapa minat boleh mari sini belajarlah,” katanya.

Sarjana tarian singa

Sementara itu, Master Lim mendedahkan beliau kini menghasilkan lebih 5,000 kepala singa yang dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kepala singa saya lebih banyak dibeli negara luar berbanding Malaysia yang hanya 50% sahaja. Negara paling banyak pembeli ialah Amerika Syarikat diikuti Hong Kong, China, Taiwan dan Indonesia,” katanya di bengkel di Kepong, Kuala Lumpur.

Dari harga bermula RM3,500 sebuah dan boleh mencecah RM8,888 bergantung pada reka bentuk, Lim berkata penghasilan sebuah kepala singa boleh memakan masa hingga tujuh hari.

Katanya, tarian singa diadakan bagi banyak tujuan seperti perayaan, perkahwinan, sambutan hari lahir, dan pembukaan kedai baharu.

“Kalau untuk Tahun Baharu Cina ini, ramai pelanggan yang mahu warna emas dan perak. Tapi kalau untuk pertandingan tarian singa, pelanggan lebih suka warna hitam,” katanya.

Lim diiktiraf sebagai sarjana tarian singa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Persekutuan Tarian Singa Malaysia pada 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.