
Pengerusinya Asyraf Wajdi Dusuki berkata trend kemasukan pelajar bukan Bumiputera yang rendah sudah berlaku sejak dahulu lagi, walaupun Mara sentiasa mengalu-alukan penyertaan dari komuniti berkenaan.
Katanya, penglibatan pelajar pelbagai kaum di bawah institusi pendidikan MRSM perlu untuk meningkatkan integrasi antara mereka menerusi pendidikan.
“Kita tak pernah memansuhkan kuota itu,” katanya pada majlis dialog bersama media.
“Kita masih kekalkannya kerana bagi Mara ada baiknya juga (kemasukan pelajar bukan Bumiputera) untuk proses interaksi itu dan integrasi itu berlaku antara mereka.”

Bagaimanapun, Asyraf berkata trend kemasukan ke MRSM bagi komuniti itu bagi sesi tahun ini dijangka ‘baik’ memandangkan proses kehadiran yang ‘amat menggalakkan’ pada proses pendaftaran pelajar bermula semalam.
“Saya tak dapat maklumkan jumlah sebenar (kemasukan pelajar bukan Bumiputera) kerana baru semalam proses pendaftaran cuma saya lihat trend sekarang penolakan kepada tawaran ke MRSM sangat rendah.
“Ramai nak masuk. Kalau dulu biasa 30%-40% akan tolak namun semalam bila saya buat tinjauan di MRSM Sungai Besar hanya sekitar 20 orang sahaja tak hadir mendaftar,” katanya.
Beliau berkata, ramai ibu bapa semakin minat menghantar anak mereka ke MRSM kerana kualiti pendidikan dan kemudahan yang disediakan.
“Ada kesan juga dari beberapa siri terjahan yang saya lakukannya, kalau tak orang tak tahu bagaimana MRSM ini,” katanya.
MRSM ditubuhkan pada 1972 bagi melahirkan golongan Bumiputera pakar dalam pelbagai bidang terutama sains dan teknologi.
Namun, pada 2002 Mara mengubah polisi kemasukan pelajar dengan menyediakan kuota sebanyak 10% kepada pelajar bukan Bumiputera.
Pada 2018, R Sivarasa yang ketika itu menjawat timbalan menteri pembangunan luar bandar dipetik berkata walaupun MRSM menawarkan pendidikan berkualiti, tetapi ramai pelajar bukan Bumiputera tidak sedar penempatan 10% kuota untuk komuniti itu.
RM100 juta selenggara kemudahan pendidikan Mara
Sementara itu, Asyraf berkata sebanyak RM100 juta diperuntukkan kerajaan bagi menyelenggara kemudahan institusi pendidikan di bawah Mara menerusi Belanjawan 2025.
Katanya, tiada guna jika sesebuah institusi itu kelihatan cantik ‘di mata kasar’ namun kemudahan asas seperti tandas dan asrama pelajar dalam keadaan usang.
“Jangan hanya pentingkan kepada kosmetik iaitu menceriakan, mencantikkan (tetapi) tandasnya rosak, tak boleh guna atau fasiliti asrama teruk dan usang.
“Ada 344 institusi pendidikan bawah Mara dan kita senaraikan ikut tahun… mana yang 30 tahun, 20 tahun dan 10 tahun untuk kita gunakan wang itu bagi tujuan selenggara,” katanya.