Permukiman Menteri Pertahanan Asean 2025 bincang kerjasama AI

Permukiman Menteri Pertahanan Asean 2025 bincang kerjasama AI

Permukiman menteri pertahanan dan pegawai kanan dari semua 10 negara anggota Asean turut bincang lima bidang keberhasilan utama.

Khaled Nordin bersama 10 negara anggota Asean serta wakil dari Timor Leste dan sekretariat Asean pada Permukiman Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) 2025 di Pulau Pinang. (Gambar Mindef)
PETALING JAYA:
Meneroka kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) antara enam bidang keberhasilan utama disasarkan dalam sesi Permukiman Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) 2025 di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Permukiman dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan Asean (ADSOM WG) yang diadakan sehari sebelumnya turut memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan penyelarasan serta kerjasama awam-tentera dalam pengurusan bantuan kemanusiaan dan bencana.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam kenyataan berkata, fokus lain termasuk meningkatkan kapasiti serta keupayaan Asean menghadapi ancaman keselamatan siber dan menambah baik kerjasama industri pertahanan bagi memacu inovasi teknologi serta pembangunan kapasiti serantau.

“Menyokong kebersamaan Asean dan memperkukuhkan Asean Centrality dalam menangani cabaran keselamatan serantau seperti keselamatan maritim, sekaligus memastikan rantau ini kekal aman, stabil serta bebas konflik,” katanya.

Permukiman itu menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari semua 10 negara anggota Asean, serta Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes, yang hadir sebagai pemerhati Asean.

Malaysia diwakili Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Mindef berkata, penganjuran ADSOM dan ADMM itu, antara komponen keselamatan dalam Asean 2025 bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan Asean (APSC).

“Platform ADSOM dan ADMM dijangka dapat merealisasikan matlamat Asean sebagai sebuah komuniti yang aman dan stabil.

“Ia juga seiring tema ‘keterangkuman dan kemampanan’ dalam memastikan keselamatan dan pertahanan serantau secara bersama,” katanya.

Mindef juga berharap permukiman itu menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan dalam sektor pertahanan tempatan, dengan membuka lebih banyak peluang kolaborasi teknologi dan inovasi
yang dapat memperkukuhkan daya saing industri pertahanan negara.

“Selain itu, solidariti Asean dalam menangani ancaman keselamatan baru, seperti keselamatan siber dan bencana alam, perlu terus diperkuat melalui platform ini bagi memastikan keamanan dan kestabilan rantau yang berterusan.

“Kementerian Pertahanan berusaha untuk memperkasakan nama Malaysia sebagai pemimpin dalam diplomasi global dengan menonjolkan keupayaan negara menjadi jambatan penghubung antara Asean dan kuasa besar dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.