
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata kerajaan ketika ini sedang membantu baki pekebun kecil berkait perkara berkenaan.
“Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia. Kita pastinya tidak dapat mengelak perkara ini. Kita perlu mematuhinya.”
Johari yakin syarikat perladangan besar swasta, yang membentuk kira-kira 73% daripada keseluruhan 4.2 juta hektar, tidak sepatutnya mempunyai isu mematuhi EUDR, mengambil kira mereka terus menjadi pembekal kepada negara Eropah.
“Ia agak mudah bagi mereka. Mereka sudah mematuhi banyak pensijilan antarabangsa, termasuk Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari dan sebagainya.”
Johari berkata demikian ketika menghadiri program Ramadan dianjurkan Padiberas Nasional Bhd (Bernas), di PPR Hiliran Ampang. Bernas memberi sumbangan berupa kotak makanan kepada lebih 1,000 penduduk pada majlis itu.
Dijadual pada mulanya berkuat kuasa pada 30 Dis 2024, EUDR ditangguh dan dijadual akan berkuat kuasa bermula 30 Dis bagi operator besar dan pedagang. Syarikat kecil dan sederhana perlu mematuhi peraturan tersebut pada 30 Jun 2026.
Mengulas bekalan rendah minyak sawit Malaysia setakat ini, Johari berkata ia memang dijangka apabila tiba Ramadan.
“Keperluan minyak sawit kita akan meningkat. Jumlah itu agak normal bagi kita. Bekalan kita akan bertambah selepas ini (musim perayaan).
“Kita masih ada sekitar 1.5 juta tan bekalan minyak sawit,” katanya.
Pada Isnin, Lembaga Minyak Sawit Malaysia berkata bekalan minyak sawit negara jatuh bagi bulan kelima berturut-turut pada Februari, kepada paras terendah 22 bulan disebabkan pengeluaran lebih rendah mengatasi eksport.