PRK Ayer Kuning: PSM-Muda berkemungkinan kecundang, menurut penganalisis

PRK Ayer Kuning: PSM-Muda berkemungkinan kecundang, menurut penganalisis

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata dua parti itu lebih wajar bertanding di kawasan bandar.

Parti Sosialis Malaysia
PSM merancang bertanding untuk kerusi DUN Ayer Kuning di Perak memandangkan komuniti India yang agak besar, mewakili 14% daripada pengundi, menurut penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) berdepan kemungkinan kecundang jika bertanding dalam PRK Ayer Kuning, walaupun dengan sokongan Muda dan keadaan kawasan itu yang mempunyai pengundi pelbagai bangsa, menurut penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, PSM dan Muda, yang pertama kali membentuk pakatan ketika PRN dua tahun lalu, menyasarkan kerusi DUN di Perak itu kerana ia kawasan dengan campuran pengundi merangkumi 40% bukan Melayu.

Mazlan Ali
Mazlan Ali.

“Jadi ia dilihat sebagai kerusi yang sesuai untuk dipertanding. Namun saya tidak yakin PSM-Muda mampu mendapat lebih daripada 1,000 undi sekalipun,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pengundi di Semenanjung dijangka mengehadkan sokongan terhadap satu daripada tiga pakatan besar yang kini mendominasi landskap politik negara, iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Maslan berkata, Muda dan PSM akan kekal tidak relevan melainkan bergabung dengan satu daripada tiga pakatan berkenaan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia menjangka calon PSM yang bertanding mungkin hilang depositnya kerana melihat parti itu mahupun Muda tidak mempunyai sumber sokongan konvensional di kawasan berkenaan.

Fauzi percaya PSM menyasarkan kerusi berkenaan disebabkan komuniti India yang agak besar di Ayer Kuning.

“Tidak eloklah untuk menganggap parti sosialis seperti PSM juga terpengaruh dengan demografi perkauman di kawasan yang mahu dipertandingkan.

“Namun sukar untuk mereka menafikan bahawa mereka menyasarkan pengundi etnik India yang merangkumi kira-kira 14%,” katanya dengan menambah Muda pula dilihat sebagai ‘terlalu idealistik untuk Malaysia’.

Pada Sabtu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mengumumkan parti itu merancang meletakkan calon dalam PRK itu 26 April ini bagi memberikan alternatif kepada pengundi di Ayer Kuning daripada kerajaan perpaduan dan pembangkang. Muda kemudian menyuarakan sokongan untuk kempen PSM.

Kerusi itu yang juga kubu kuat Umno, dikosongkan selepas kematian Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb. Ishsam memenangi kerusi itu dalam PRU 2022, dengan majoriti 2,213 undian dalam pertandingan lima penjuru.

PSM turut bertanding di situ pada 2022, tetapi calonnya KS Bawani hanya meraih 586 undi.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Fauzi berkata, elok juga untuk PSM dan Muda menggunakan PRK itu bagi memberi bayangan kemungkinan bekerjasama dalam PRU di masa depan, terutama melihat pada demografi campuran di Ayer Kuning.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua parti itu patut bertanding di kerusi bandar di masa depan kerana peratusan pengundi yang kecewa dengan keadaan semasa berkemungkinan lebih tinggi, tanpa mengira bangsa atau agama, antara lain disebabkan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Dasar sosialis lebih menarik di kawasan dengan ramai penduduk miskin bandar yang ramai,” katanya.

Mazlan bagaimanapun meragui keupayaan Muda dan PSM untuk menunjukkan prestasi lebih baik di kawasan bandar. Katanya, kedua-dua parti bertanding di kawasan bandar dalam enam pilihan raya negeri pada 2023 namun semua calon mereka kehilangan deposit.

“PSM dan Muda adalah parti yang tiada potensi atau kemungkinan mendominasi arena politik Malaysia, walaupun dikatakan parti bandar. Walaupun dua parti ini lebih sesuai untuk kerusi di kawasan bandar, nampaknya di lokasi seperti itu sekalipun mereka kurang mendapat sokongan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.