Badan pemikir pertikai data diguna Trump untuk mula ‘perang’

Badan pemikir pertikai data diguna Trump untuk mula ‘perang’

CME kata presiden AS memulakan perang perdagangan berdasarkan data rekaan.

Carmelo Ferlito
Carmelo Ferlito dari CME kata nisbah antara defisit perdagangan dan import tidak boleh dikira sebagai halangan perdagangan.
PETALING JAYA:
Ketua sebuah badan pemikir mempertikaikan data yang dibentangkan oleh pentadbiran AS untuk mewajarkan tarif timbal balik yang dikenakan ke atas Malaysia dan beberapa negara lain.

Walaupun angka tinggi yang dibentangkan kerajaan AS itu bertujuan memberi gambaran bahawa dasar perlindungan wajar dikenakan, apabila diteliti ia sebenarnya hasil nisbah antara defisit perdagangan AS dan import AS dengan setiap negara berkenaan, menurut CEO Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito.

“Sudah tentu nisbah antara defisit perdagangan dan import tidak boleh dikira sebagai halangan perdagangan.

“Jelas sekali bahawa perang perdagangan ini bermula dengan cara yang paling teruk, iaitu berdasarkan data rekaan,” menurut kenyataan.

Ferlito menjelaskan bahawa halangan perdagangan semata-mata bukan penentu defisit perdagangan, import dan eksport.

Menurut pentadbiran Donald Trump, AS berdepan 47% halangan perdagangan dari Malaysia, 64% dari Indonesia, 67% dari China, 46% dari Jepun dan 90% dari Vietnam.

Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24% oleh AS, berkuat kuasa 9 April.

Ferlito berkata pendekatan yang betul terhadap halangan perdagangan, sama ada dalam bentuk tarif dan bukan tarif, adalah dengan merujuk Indeks Halangan Perdagangan Antarabangsa oleh Yayasan Tholos, yang menurutnya memberikan ukuran yang lebih tepat.

Beliau juga menyarankan negara-negara yang ingin menjawab tarif Trump harus secara aktif menggalakkan perjanjian perdagangan bebas dua hala dan pelbagai hala, serta lebih giat mengusahakan perjanjian sebegitu, dan tidak cuba mencipta lebih banyak langkah perlindungan tersembunyi bagi industri-industri domestik.

Ferlito mengesyorkan Malaysia memanfaatkan kedudukannya sebagai pengerusi Asean.

“Malaysia harus memanfaatkan kedudukannya dalam Asean untuk menggalakkan liberalisasi perdagangan berasaskan perkhidmatan dan mendorong dasar perdagangan yang lebih agresif dengan Kesatuan Eropah, berbanding membalas dendam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.