Batal atau tangguh semua majlis Aidilfitri, Wan Fayhsal gesa kerajaan

Batal atau tangguh semua majlis Aidilfitri, Wan Fayhsal gesa kerajaan

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu kerajaan salur peruntukan majlis kepada tabung khas bantuan mangsa letupan.

Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kata bantuan RM5,000 kepada mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights ‘jauh dari mencukupi’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan membatalkan atau tangguh semua majlis sambutan Aidilfitri, dan salur peruntukan majlis kepada tabung khas bantuan mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights.

Wakil rakyat Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kerajaan seharusnya membela nasib mangsa yang cedera dan harta musnah serta terpaksa tidur di pusat pemindahan, bukan meraikan majlis dengan dana rakyat.

Menurut Wan Fayhsal, kos keseluruhan majlis itu dijangka mencecah antara RM10 juta hingga RM20 juta, mengambil kira kos katering, pentas, logistik, dan ‘protokol VIP’.

“Dana sebanyak ini lebih bermakna jika disalurkan untuk membaik pulih kediaman mangsa, menyediakan rawatan perubatan dan sokongan kesihatan mental, bantuan tunai menyeluruh bagi keluarga yang kehilangan punca pendapatan, dan penempatan sementara yang selesa dan selamat,” menurut kenyataan.

Wan Fayhsal juga berkata bantuan tunai RM5,000 kepada mangsa bencana ‘jauh dari mencukupi’, kerana tidak mampu menampung kos asas seperti pembaikan rumah rosak, penggantian peralatan asas, atau rawatan perubatan yang berterusan.

Petronas hari ini mengumumkan pembatalan semua sambutan Aidilfitri atas dasar menghormati semua mangsa, termasuk rumah terbuka yang dijadual diadakan di Kuching pada 11 Apr.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.