Premium insurans naik: PAC buat 5 lagi prosiding tertutup sebelum bentang laporan

Premium insurans naik: PAC buat 5 lagi prosiding tertutup sebelum bentang laporan

Laporan penuh dijangka dibentang pada sesi sidang Dewan Rakyat Jun depan.

hospital payment counter
Sejak tahun lepas, industri insurans dan takaful menjadi tumpuan berikutan premium perubatan yang naik mendadak, dilaporkan antara 40-70% berikutan dakwaan kos perubatan yang tinggi. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan lima lagi prosiding tertutup bulan ini berhubung peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam sebelum menyediakan laporan penuh.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang juga ahli PAC berkata, laporan penuh dijangka dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat Jun depan.

Menurut Sim, sejak Februari lepas, sebanyak dua sesi pendengaran awam dan 12 prosiding tertutup telah dilaksanakan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“PAC akan memanggil beberapa lagi pihak berkepentingan seperti BNM (buat kali kedua) dan Majlis Perubatan Malaysia selepas Raya, untuk penambahbaikan syor,” katanya kepada Bernama.

Secara keseluruhannya, kata SIM, 17 prosiding dan dua sesi pendengaran awam diadakan bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga tidak terkawal oleh hospital swasta dan pihak insurans.

“Kemudian pada Mei, kami akan buat persiapan laporan secara terperinci dan menyeluruh sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun.

“Kami harap laporan itu boleh membantu kerajaan membuat polisi atau dasar yang membantu rakyat,” katanya.

Setakat ini, terdapat beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan kerajaan seperti mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat bermula 1 Mei selaras dengan dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, dengan cara tersebut caj ubat-ubatan dalam tuntutan insurans boleh disemak supaya harganya tidak melebihi harga yang dipaparkan dan caj ubat-ubatan tidak sewenang-wenangnya dinaikkan.

Sejak tahun lepas, industri insurans dan takaful menjadi tumpuan berikutan premium perubatan yang naik mendadak, dilaporkan antara 40-70% berikutan dakwaan kos perubatan yang tinggi.

Isu ini menarik perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengarahkan BNM dan KKM untuk membuat keputusan mengenai mekanisme kawalan bagi memastikan kenaikan premium wajar dan tidak membebankan rakyat.

Pada Disember lepas, BNM mengumumkan empat langkah interim sebagai sokongan sementara bagi membantu menangani kesan pelarasan premium insurans dan takaful perubatan.

Antara langkah interim itu termasuk melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026 dan penangguhan sementara pelarasan premium pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas selama setahun dari ulang tahun polisi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.