Utamakan kesalinghubungan dalam ‘blueprint’ JS-SEZ, kata pakar

Utamakan kesalinghubungan dalam ‘blueprint’ JS-SEZ, kata pakar

Wan Agyl Wan Hassan mencadangkan penubuhan majlis pengangkutan rentas sempadan bagi menyeragamkan piawaian, data dan perkhidmatan kecemasan dalam zon ekonomi khas itu.

causeway
Pembinaan pos imigresen ketiga antara Johor dan Singapura mampu memperbaiki proses pelepasan imigresen, kata penganalisis Chua Yang Liang. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Peningkatan kesalinghubungan dengan Singapura sepatutnya menjadi fokus utama dalam pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka siap pada suku ketiga tahun ini, kata pakar.

Chua Yang Liang, ketua penyelidikan dan perundingan bagi Jones Lang LaSalle Asia Tenggara berkata pemerhati pasaran dan pihak perniagaan berharap kedua-dua kerajaan akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong aliran bakat, barangan dan perkhidmatan.

Chua Yang Liang
Chua Yang Liang.

“Apa diperlukan ialah kejelasan operasi JS-SEZ kerana kebimbangan utama kebanyakan pelabur ialah bagaimana kedua-dua kerajaan akan memudahkan pergerakan orang ramai dan barangan.

“Sebagai zon ekonomi khas rentas sempadan, infrastruktur asas — seperti imigresen, proses pelepasan barangan rentas sempadan, dan pengangkutan awam — mesti mencukupi bagi menyokong transformasi ini melalui aliran pekerja dan barangan yang lancar,” katanya kepada FMT.

Pengasas My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan pula mencadangkan penubuhan sistem yang ‘lancar, selamat dan pintar’ untuk pergerakan manusia, barangan, perkhidmatan dan data merentasi sempadan.

“Kita berharap dapat melihat penekanan yang jelas terhadap sistem imigresen dan kastam pintar, integrasi Sistem Transit Pantas (RTS) dengan mobiliti dalam Johor serta infrastruktur digital menghubungkan operasi logistik di kedua-dua belah pihak,” katanya.

Cadangan pos imigresen ketiga

Chua turut mencadangkan pembinaan pos imigresen ketiga antara Johor dan Singapura bagi memperbaiki proses pelepasan imigresen.

Wan Agyl bersetuju bahawa lokasi ketiga itu dapat mengurangkan tekanan ke atas pusat pemeriksaan di Tuas dan Woodlands, tetapi menegaskan ia mesti mempunyai tujuan jelas — sama ada menyokong operasi logistik atau menghubungkan kluster ekonomi rentas sempadan.

Wan Agyl Wan Hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

“Paling penting ia memerlukan koordinasi kukuh dengan Singapura, perancangan bersama dan reka bentuk berasaskan bukti.

“Jika dilaksanakan dengan betul, laluan ketiga ini boleh meningkatkan daya tahan dan kebolehsediaan sistem — tetapi ia mesti dibina berdasarkan fungsi bukan sekadar fizikal,” katanya.

Januari lalu, Malaysia dan Singapura mengumumkan persetujuan pembangunan zon ekonomi khas yang bertujuan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor seperti pembuatan, logistik, pelancongan dan peralihan tenaga.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan menyasarkan pelaksanaan 50 projek dan mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dalam tempoh lima tahun pertama pelaksanaan JS-SEZ.

Beliau juga berkata pelan induk zon ekonomi ini dijangka siap pada suku ketiga tahun ini dan akan merangkumi butiran mengenai peruntukan bagi pembangunan infrastrukturnya.

Kesalinghubungan mesti mampu milik, bersedia untuk masa depan

Wan Agyl mencadangkan penggunaan model ‘mobiliti sebagai perkhidmatan’ yang membolehkan pengguna memenuhi keperluan yang merangkumi pelbagai pilihan pengangkutan, termasuk pengangkutan awam dan e-panggilan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah majlis pengangkutan rentas sempadan bagi memastikan piawaian, data dan perkhidmatan kecemasan dalam zon ekonomi khas itu diselaraskan.

Wan Agyl berkata walaupun pertumbuhan ekonomi kekal sebagai keutamaan dalam JS-SEZ, peningkatan yang terhasil juga harus meningkatkan kemampuan dan kecekapan bagi pengguna harian berulang-alik merentas sempadan.

“Kesalinghubungan mesti inklusif dan bersedia untuk masa depan. Kejayaan zon ekonomi khas bukan hanya diukur melalui jumlah barangan bergerak atau saiz pelaburan diterima.

“Tetapi sejauh mana ia memperbaiki kehidupan harian mereka yang bergantung kepadanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.