Pegawai penyelaras dipecat PKR nafi bantu kempen calon PN

Pegawai penyelaras dipecat PKR nafi bantu kempen calon PN

Tan Hung Nye dakwa gambar memaparkan beliau bersama penyokong PN 'sekadar gambar'.

azam afandi
Gambar dikongsi Timbalan Pengarah Operasi Jentera PKR, Azam Afandi, susulan dakwaaan Tan Hung Nye (kemeja gelap) bantu kempen calon PN. (Gambar Azam Affandi)
PETALING JAYA:
Bekas pegawai penyelaras PKR bagi sebuah daerah mengundi di DUN Ayer Kuning nafi membantu kempen calon Perikatan Nasional, susulan pemecatannya semalam.

Tan Hung Nye, yang sebelum ini menyelaras Kampong Coldstream, mendakwa gambar memaparkan beliau bersama penyokong PN ‘sekadar gambar’.

“Berhubung gambar dengan penyokong PN ia sekadar gambar bukannya berkempen untuk calon. Saya kalau jumpa orang Barisan Nasional ke, DAP ke atau mana-mana parti saya profesional boleh sahaja bergambar dengan sesiapa.

“Ia tidak bermaksud saya mengkhianati parti,” katanya kepada FMT.

Timbalan Pengarah Operasi Jentera PKR, Azam Afandi, mengumumkan pemecatan Tan semalam dan menegaskan tindakan Tan bukan arahan PKR dan tidak mewakili parti.

PKR, yang menganggotai Pakatan Harapan, membantu calon BN mempertahankan DUN Ayer Kuning daripada PN dan Parti Sosialis Malaysia.

Azam yang juga ketua PKR Tapah berkata surat tunjuk sebab akan dihantar kepada Tan, dan akan merujuk tindakan yang didakwa dilakukan itu kepada biro lembaga disiplin parti.

Tan berkata beliau rasa terkilan keputusan dibuat dan diumumkan kepada media sebelum minta penjelasan.

“Saya tidak kisah jika dipecat sebagai pegawai penyelaras sebab kerja itu pun ikhlas saya buat tak dapat gaji pun, cuma ia sepatutnya dibuat secara teratur dengar penjelasan saya dulu, sebab saya ada maruah,” katanya.

Susulan pemecatan Tan, PKR Tapah melantik pegawai baharu bagi Kampong Coldstream.

DUN Ayer Kuning mempunyai 20 daerah mengundi dan Kampong Coldstream salah satu daripada tujuh yang dimenangi PH pada PRU lalu. Selebihnya dimenangi Barisan Nasional (9) dan PN (4).

Rakyat Ayer Kuning akan memilih wakil mereka pada 26 Apr. Kerajaan perpaduan meletakkan Mohamad Yusri Bakir yang dicabar oleh Abdul Muhaimin Malek (PN) dan KS Bawani (PSM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.