
Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata lima suspek termasuk seorang warga Singapura ditahan dalam serbuan berasingan.
Katanya, tiga lelaki menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah manakala dua lelaki lagi melibatkan pangsapuri sewa.
“Operasi pada 1.30 tengah hari, 20 April menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan merampas 9.35 kg ekstasi dan 62 gram ketamin bernilai RM1.57 juta dari pangsapuri di Johor Bahru, disewa suspek sejak Mac lepas,” katanya lapor Bernama, pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.
Operasi seterusnya pada 11.30 malam, 21 April di sebuah jeti di Batu Pahat membawa kepada rampasan 20.71 kg syabu dan 13.99 gram pil Erimin 5 bernilai RM662,748 yang disimpan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Suspek berusia 36 tahun itu menggunakan kenderaan yang didaftarkan atas nama individu lain untuk menyimpan dadah berkenaan sebelum ia diedarkan ke negara jiran.
Polis turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di Kota Tinggi sekitar 9 malam, 23 April, dengan rampasan 20 kg ekstasi bernilai RM3.34 juta yang disimpan dan diproses dalam sebuah kereta.
Dalam serbuan di Kluang pada 1.30 tengah hari, 23 April, pihak polis merampas 9.90 kg ekstasi, 187.30 gram ketamin, dan 78.30 biji pil Erimin 5 bernilai RM1.69 juta, yang disimpan dalam sebuah kereta oleh suspek berusia 33 tahun.
Seorang lelaki warga Singapura berusia 47 tahun ditahan dalam serbuan terakhir di sebuah pangsapuri di Danga Bay, Johor Bahru pada 10 malam, 23 April.
“Suspek dipercayai menggunakan kad pengenalan palsu negaranya untuk menyewa pangsapuri tersebut sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Polis merampas 10 kg serbuk ekstasi, 31.30 gram ketamin, 44 gram ganja, sembilan gram heroin, enam gram pil ekstasi dan 1.20 gram pil yaba di unit tersebut, dengan nilai rampasan dianggarkan RM1.68 juta.
Semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.