
Muda Sabah dalam kenyataan berkata mereka tidak hanya sekadar bergerak di media sosial tetapi mengambil pendekatan kreatif dalam gerak kerja lapangan termasuk penggunaan platform digital serta anjur program bersasar.
Dakwanya, kreativiti dan kecekapan gerak kerja itu bukanlah kelemahan sebaliknya kekuatannya.
“Kami membina akar umbi secara berfasa, jujur dan berdikari tanpa perlu menumpang populariti mana-mana tokoh politik yang telah hilang kredibiliti,” kata Muda Sabah meyentuh isu kekangan ketiadaan akar umbi dan pemimpin berwibawa.
Terdahulu, FMT melaporkan kenyataan penganalisis Mazlan Ali yang Muda mungkin berdepan jalan ‘sengsara’ pada PRN Sabah kerana hanya bergerak di media sosial tanpa ada kekuatan akar umbi.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) pula menyifatkan langkah Muda bertanding di Sabah hanya ‘angan-angan’ kerana tiada tokoh besar untuk memimpinnya.
Ahad lalu, pemangku Ketua Muda Sabah Faezrah Rizalman mengumumkan hasrat parti itu bertanding maksimum 10 kerusi pada PRN dengan fokus diberi di kawasan bandar.
Mengulas lanjut pandangan itu, Muda Sabah menyerahkan rakyat negeri itu menilai keberaniannya membawa politik baharu sebagai kesengsaraan atau permulaan kepada perubahan sudah lama ditunggu.
DUN Sabah akan terbubar pada Oktober depan dan PRN perlu diadakan selewat-lewatnya November atau lebih awal.
Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan dan menjadi rebutan parti.