Tarif AS: Pembangkang gesa tangguh subsidi bersasar RON95

Tarif AS: Pembangkang gesa tangguh subsidi bersasar RON95

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin turut meminta kerajaan tangguh kenaikan tarif elektrik pada Julai ini dan perluasan skop SST.

hamzah zainudin
Hamzah Zainudin berkata perubahan dasar negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembangkang meminta kerajaan menangguhkan sebarang perubahan dasar fiskal negara termasuk subsidi bersasar  RON95 dan kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa Julai ini.

Hamzah Zainudin (Larut-PN) berkata perubahan dasar negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan, yang akhirnya membebankan pengguna.

“Tentang kenaikan harga RON95 pada Jun supaya kerajaan ambil kira dan kalau boleh kita tangguhkan, begitu juga kenaikan tarif elektrik pada Julai dan langkah perluasan skop SST kena ambil kira juga.

“Saya juga mohon kerajaan tangguh pembelian 30 pesawat Boeing ketika ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu ini.

“Kerajaan perlu prihatin dan ambil serius kesan pelaksanaan tarif ini,” katanya ketika perbahasan sesi khas Dewan Rakyat berkait tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Hamzah yang juga ketua pembangkang turut mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan pelbagai perkara berbangkit susulan pelaksanaan tarif timbal balas oleh Presiden Donald Trump itu.

Beliau berkata terdapat perkara yang perlukan perbincangan bersama antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, merujuk kepada kejayaan jawatankuasa khas pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Dulu masa kita bincang isu CPTPP, kita bukan hanya bawa perkara itu di Parlimen tetapi kita tubuh jawatankuasa dianggota Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya apa yang kita nak nilai itu ‘transparent’.

“Dalam itu nanti sudah pasti kita akan beri pandangan, cadangan kami… kerana apabila ianya dibawa ke jawatankuasa kita sama-sama boleh bincangkan,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) supaya jawatankuasa tarif AS perlu melibatkan pemimpin dari negeri termasuk ditadbir PAS.

“Kerajaan perlu lebih terbuka untuk tubuhkan jawatankuasa kerana ini melibatkan masalah ekonomi negara, maka ia membabitkan semua kerajaan negeri.

“Jika dulu kita boleh lakukan saya mohon sekarang pun ia dilakukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.