Kerajaan setuju tubuh kaukus pastikan rundingan tarif AS telus

Kerajaan setuju tubuh kaukus pastikan rundingan tarif AS telus

Menteri Tengku Zafrul Aziz berkata wakil kerajaan dan pembangkang akan menganggotai jawatankuasa itu.

Tengku Zafrul Aziz berkata penubuhan kaukus Parlimen untuk rundingan tarif AS sama seperti sebelum kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan setuju menubuhkan kaukus Parlimen dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang untuk memastikan ketelusan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berkait tarif dikenakan terhadap produk Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata pada masa sama pihak industri dan berkepentingan dari kerajaan negeri juga dibabitkan sama dalam jawatankuasa terbabit.

Katanya, penubuhannya sama seperti sebelum kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Kerajaan komited kepada tadbir urus baik dan sekiranya sebarang cadangan dasar mahu dikemukakan memerlukan keputusan bersifat struktur ia akan melalui tiga proses.

“Pertama semakan ketat, kelulusan Jemaah Menteri dan perlu dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya dalam penggulungan pada sidang khas Dewan Rakyat berkait tarif timbal balas AS.

Penubuhan kaukus atau jawatankuasa khas itu antaranya dicadangkan oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Tengku Zafrul mengetuai Malaysia dalam rundingan dengan AS dan bertemu wakil kerajaan negara itu di Washington pada 22 hingga 24 April lalu.

“Rundingan dengan AS masih lagi pada peringkat awal melibatkan perbincangan skop dan teknikal

“Ia juga tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan, kita hendak lindungi kedudukan strategik negara dan keyakinan pelabur,” katanya.

Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan tarif menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif timbal balik terhadap 49 negara, berkuat kuasa 9 April.

Selain Malaysia yang dikenakan tarif 24%, negara lain terkesan termasuk Kemboja (49%), Laos (48%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), dan Filipina (18%).

Bagaimanapun, AS pada 8 April mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif itu selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.