
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan menghadapi rundingan itu daripada ‘kedudukan yang kukuh’ kerana ekonomi negara berkembang 5.1% tahun lepas dan kekal stabil.
“Kita bukan sahaja mahu kurangkan tarif … kita malah mahu (tarif) 0%,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbahasan khas di Dewan Rakyat.
Negara ditadbir Donald Trump itu mengumumkan tarif 24% ke atas kebanyakan barangan Malaysia, selain tarif berkadar lain terhadap kira-kira 60 negara. Pelaksanaan tarif itu bagaimanapun ditangguh 90 hari bagi membolehkan rundingan dijalankan.
Tarif menyeluruh 10% ke atas hampir semua import ke AS masih terguna pakai.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Mastura Ahmad Mustafa akan mengetuai rundingan bagi pihak kerajaan Malaysia manakala Washington menamakan penolong Pejabat Wakil Perdagangan AS sebagai ketua perundingnya.
“Saya nak buat pengumuman di sini. Kita telah tandatangani NDA (perjanjian kerahsiaan) supaya Mastura, sebagai ketua pasukan kita … akan mula rundingan pagi esok dengan penolong Pejabat Wakil Perdagangan AS,” katanya.
Beliau berkata, walaupun perunding terikat dengan NDA, mereka akan berusaha memberi taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas atau kaukus Parlimen mengenai rundingan tarif yang sedang berjalan.
Beliau juga berkata, kompromi perdagangan tidak akan menjejaskan dasar berkaitan Bumiputera dan kepentingan tempatan lain.
Tengku Zafrul yang berada di AS dari 23 hingga 27 April untuk mengetuai delegasi membincangkan tarif berkata, Washington telah menyatakan kebimbangan terhadap defisit perdagangan USD25 bilion dan halangan bukan tarif.
Katanya, beliau memberitahu birokrat AS bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia telah melabur hampir USD45 bilion dalam pasaran ekuiti dan bon AS.
Tengku Zafrul berkata, AS juga bimbang tentang pensijilan halal yang perlahan di Malaysia dan risiko barangan berkaitan teknologi di Malaysia dihantar ke negara tertentu.
“(Perkara) ini disebut secara meluas oleh pentadbiran (Donald) Trump … kepentingan teknologi AS tidak digunakan oleh pihak yang tidak mereka setujui,” katanya.
“Itulah sebabnya mereka ada sekatan eksport ke atas cip, contohnya. Jadi apa sahaja cip yang datang ke Malaysia, Indonesia atau Singapura … mereka mahu pastikan negara-negara ini tidak benarkan cip itu dieksport semula ke negara lain.”
Tengku Zafrul juga berkata, beliau memberitahu Washington bahawa Malaysia akan mengekalkan dasar perdagangan terbuka dan neutral sambil menjaga hubungan baik dengan rakan kongsi seperti China, Kesatuan Eropah dan negara Majlis Kerjasama Teluk.
“Kita tidak pilih jalan mudah atau tunduk pada tekanan, tetapi berunding berdasarkan prinsip dan strategi (perdagangan bebas),” katanya.