Sejak bila ubah ‘Melayu dulu’ kepada ‘Malaysia dulu’, Lim tanya Muhyiddin

Sejak bila ubah ‘Melayu dulu’ kepada ‘Malaysia dulu’, Lim tanya Muhyiddin

Veteran DAP itu mempersoalkan deklarasi Muhyiddin Yassin berhubung pendirian 'Melayu terlebih dahulu' ialah pandangan lamanya.

Veteran DAP Lim Kit Siang bertanyakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sama ada beliau akan mengetuai kempen menggesa rakyat Malaysia melihat diri berdasarkan kerakyatan mereka terlebih dahulu, bukannya bangsa.
PETALING JAYA:
Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan deklarasi Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung pendirian “Melayu terlebih dahulu” ialah pandangan lamanya.

Bekas Ahli Parlimen selama 11 penggal itu meminta Muhyiddin menyatakan bilakah beliau beralih daripada deklarasinya “Melayu terlebih dahulu” pada 2010 kepada “Malaysia dahulu”.

“Adakah beliau bersedia mengetuai kempen untuk menggesa semua rakyat Malaysia melihat diri berdasarkan kerakyatan mereka terlebih dahulu dan bangsa mereka di tempat kedua?” katanya dalam kenyataan.

Pada 2010, Lim mencabar Muhyiddin menyatakan sama ada beliau orang Melayu atau rakyat Malaysia terlebih dahulu ketika mengkritik gagasan 1Malaysia, yang dicanang kerajaan Najib Razak untuk menyokong perpaduan.

Muhyiddin yang juga timbalan Najib ketika itu berkata, beliau orang Melayu terlebih dahulu, tetapi ini tidak bermakna beliau bukan rakyat Malaysia.

Semalam, Ahli Parlimen Pagoh itu ketika berucap dalam Festival Perpaduan India anjuran Parti Rakyat India Malaysia yang juga parti komponen Perikatan Nasional (PN), mengakui “saya pernah kata saya Melayu terlebih dahulu. Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia”.

Bekas perdana menteri itu menegaskan walaupun menganggap dirinya orang Melayu Malaysia, “tapi pemikiran saya tak pernah berfikir saya sebagai Melayu sahaja”.

Pengerusi Urimai, P Ramasamy mengalu-alukan pendirian terbaharu Muhyiddin yang disifatkannya tepat pada masa dan penting untuk PN menjadi gabungan mewakili semua rakyat Malaysia.

Bekas pemimpin DAP Pulau Pinang itu berkata, ini boleh membentuk semula imej gabungan pembangkang dan menjadikannya alternatif inklusif buat bukan Melayu menjelang PRU akan datang.

“Ketika ini, parti komponen bukan Melayu dalam PN – seperti Gerakan dan MIPP – kurang pengaruh mencukupi dalam kalangan pengundi Cina serta India.

“Tanpa pendirian berbilang kaum yang jelas daripada kepimpinan tertinggi PN, gabungan itu akan terus bergelut menarik sokongan bukan Melayu, walaupun ketika kekecewaan semakin meningkat terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PN perlu mengelak model parti bukan Melayu Barisan Nasional yang dianggap kurang penting dan “lemah dari segi politik”, manakala MIPP khususnya perlu menjauhi corak sejarah subordinasi parti politik India untuk berjaya.

“PN berpeluang bangkit ke tahap ini – tetapi hanya jika ia merangkumi kepelbagaian kaum, bukan sekadar dalam retorik, tetapi juga dari segi struktur dan semangat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.