Konon ditawar tender IPTA, pengarah syarikat rugi lebih RM130,000

Konon ditawar tender IPTA, pengarah syarikat rugi lebih RM130,000

Suspek menyamar wakil IPTA di Kelantan tawar tender bekal 20 penyaman udara dan mesin jana kuasa, kata polis.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pengarah syarikat kerugian RM137,200 selepas ditipu sindiket penawaran tender tidak wujud, kononnya untuk membekalkan penyaman udara dan mesin jana kuasa kepada sebuah institusi pendidikan tinggi awam.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, mangsa lelaki berusia 52 tahun itu mendakwa pada 13 Mei lepas beliau menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah IPTA di Kelantan.

Katanya, suspek menawarkan kepada mangsa tender bagi membekalkan 20 penyaman udara dan mesin jana kuasa.

“Untuk meyakinkan mangsa, suspek turut mengemukakan empat pesanan pembelian atas nama ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang palsu sebagai bukti jaminan pembayaran tender.

“Suspek juga memberikan maklumat pembekal untuk mangsa menjalankan urus niaga jual beli peralatan berkenaan,” katanya, lapor Bernama.

Mangsa yang terperdaya membuat tujuh pindahan wang ke dalam satu akaun bank dalam tempoh lima hari bermula 27 Mei. Bagaimanapun, setelah diperiksa, mangsa mendapati tawaran tender dalam talian itu sebenarnya tidak wujud.

Mohd Razi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.